MAKSUD memuliakan Baginda Nabi SAW di dunia adalah dengan meninggikan sebutan namanya, menzahirkan agamanya dan mengekalkan syariatnya.
MAKSUD memuliakan Baginda Nabi SAW di dunia adalah dengan meninggikan sebutan namanya, menzahirkan agamanya dan mengekalkan syariatnya.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Keagungan maqam Baginda Nabi SAW tersirat dalam perintah Allah SWT kepada umat Islam agar berselawat ke atas Nabi SAW dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."  (Surah al-Ahzab: 56)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menukilkan dalam Fathul Bari daripada Imam Abu al-'Aliyah katanya: "Maksud selawat Allah ke atas Nabi-Nya ialah Dia memberikan sanjungan dan kemuliaan kepada Baginda, manakala selawat para malaikat dan lain-lain kepada Baginda pula ialah permohonan mereka kepada Allah SWT agar menambahkan lagi sanjungan dan kemuliaan tersebut kepada Baginda."

Kata Imam al-Halimi dalam kitab as-Syu'ab: "Makna berselawat kepada Nabi SAW itu ialah memuliakannya. Justeru, makna ucapan kita: "Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad" adalah bermaksud, muliakanlah Muhammad SAW. Maksud memuliakan Baginda
di dunia adalah dengan meninggikan sebutan namanya, menzahirkan agamanya dan mengekalkan syariatnya. Manakala di akhirat pula dengan membanyakkan ganjaran pahalanya, menerima syafaat Baginda terhadap umatnya dan menyerlahkan kelebihannya dengan maqam yang terpuji. Di atas pengertian ini, maka maksud firman-Nya: "Berselawatlah kamu kepadanya" ialah mohonlah kepada Tuhanmu supaya berselawat kepadanya."

Berselawat merupakan antara amalan yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ketika turunnya perintah berselawat, para sahabat telah bertanya kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, ada pun cara mengucapkan salam kepadamu telah kami ketahui, maka bagaimanakah pula cara berselawat ke atasmu?" Rasulullah SAW menjawab: "Ucaplah: Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selawat Ibrahimiyyah ini adalah selawat yang paling afdal menurut ijmak ulama kerana ia diperturunkan oleh Rasulullah SAW sendiri. Bagaimanapun, umumnya selawat yang disusun oleh para ulama dan solihin juga adalah harus diamalkan. Ini kerana Selawat Ibrahimiyyah diajarkan oleh Nabi SAW atas pertanyaan sahabatnya serta tidak pula dinyatakan Baginda melarang agar jangan berselawat dengan lafaz-lafaz yang lain.

Ramai ulama berpendapat harus menyusun selawat kepada Nabi SAW dengan syarat ia mestilah tidak terkeluar daripada batasan syarak. Antara dalilnya adalah selawat-selawat yang diriwayatkan daripada 'Ali bin Abi Talib RA, Ibnu 'Umar RA, Ibnu 'Abbas RA dan Ibn Mas'ud RA. Begitu juga ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menyuruh berselawat secara umum turut menguatkan hukum harusnya. Maka, jelas bahawa ia bukan suatu perkara bidaah yang sesat kerana turut dilakukan oleh para salafussoleh. Imam as-Syafie misalnya, terkenal dengan selawat yang disusun oleh beliau di awal kitab ar-Risalahnya.    

Terdapat banyak kelebihan bagi amalan berselawat di mana ia merupakan amalan yang pasti diterima dan pahalanya dijamin oleh Allah SWT. Antaranya, Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, nescaya Allah SWT akan berselawat (iaitu memberi rahmat) kepadanya sebanyak sepuluh kali." (Riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW lagi: "Sesungguhnya orang yang paling utama di sisiku pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Hibban dalam Sahihnya)

Kata Ubay bin Ka'ab RA: Pernah apabila dua pertiga malam berlalu, Rasulullah SAW bangun lalu bersabda: "Wahai sekalian manusia, ingatlah Allah, ingatlah Allah. Tiupan sangkakala pertama datang dan akan diiringi dengan tiupan kedua. Kematian datang dengan membawa segala macam yang ada padanya, kematian datang dengan membawa segala macam yang ada padanya." Ubay bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sering membanyakkan selawat kepadamu, lalu berapa banyakkah aku boleh menjadikan selawatku untukmu?" Maka, Baginda menjawab: "Terserah padamu." Aku bertanya: "Seperempat?" Baginda menjawab: "Terserah padamu, namun jika kamu tambah maka itu adalah lebih baik bagimu." Aku bertanya: "Separuh?" Baginda menjawab: "Terserah padamu, namun jika kamu tambah maka itu adalah lebih baik bagimu." Aku bertanya: "Maka, dua pertiga?" Baginda menjawab: "Terserah padamu, namun jika kamu tambah maka itu adalah lebih baik bagimu." Ubay pun berkata: "Aku akan menjadikan seluruh doaku untukmu." Baginda bersabda: "Jika begitu, keperluanmu akan dicukupi dan dosamu akan diampuni." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 6:01 AM