GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Umat Islam sangat digalakkan mengambil ibrah daripada kisah nabi dan orang soleh. Sheikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah menukilkan ungkapan ulama salaf soleh: "Cerita-cerita merupakan tentera daripada tentera-tentera Allah SWT, Allah SWT menguatkan dengannya akan hati-hati para wali-Nya." Ungkapan ulama berkenaan berkaitan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tiap-tiap berita daripada berita rasul itu Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad SAW) untuk menguatkan hatimu dengannya." Surah Hud: 120

Contoh kisah yang boleh diambil manfaat ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: 'Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit berhentilah daripada curahan hujanmu.' Dan (ketika itu) surutlah air serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itu pun berhenti di atas gunung 'Judi' dan diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): 'Kebinasaanlah akhirnya bagi orang yang zalim.'" Surah Hud: 44

Menurut Tafsir al-Jalalain tulisan Imam Jalal al-Din al-Mahalli (791H-864H) dan muridnya Imam Jalal al-Din al-Suyuti (849H-911H), Allah SWT memerintahkan bumi agar menelan air yang keluar darinya maka bumi terus menelan airnya. Tetapi air hujan masih turun dari langit sehingga terjadinya sungai dan laut. Allah SWT memerintahkan langit berhenti menurunkan air hujan maka hujan pun berhenti. Air pun berkurang maka kaum Nabi Nuh AS selesai dibinasakan.

Ayat ini adalah sebahagian daripada sejarah Nabi Nuh AS yang berhadapan dengan kaumnya yang tidak beriman kepada Allah SWT. Antara perkara yang dapat diambil ibrah daripada sejarah Nabi Nuh AS contohnya tidak melanggar perintah Allah SWT dengan beriman kepada-Nya dan tidak menyembah berhala. Begitu juga kesabaran Nabi Nuh AS yang berdakwah dalam tempoh lama tapi hanya beberapa orang yang beriman sehingga akhirnya mereka dibinasakan keseluruhannya. Perlu diketahui juga antara kelebihan umat Nabi Muhammad SAW adalah azab yang dikenakan tidak seperti umat terdahulu.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku memohon tiga perkara kepada Tuhanku maka Dia memberiku dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhanku tidak membinasakan umatku dengan kekurangan makanan maka Dia memperkenankanku, aku memohon Dia tidak membinasakan umatku dengan ditenggelamkan maka Dia memperkenankanku dan aku memohon Dia tidak menimpakan permusuhan di antara mereka maka Dia menolaknya." Riwayat Imam Muslim

Azab itu tidak berlaku secara besar-besaran seperti kaum terdahulu. Terdapat beberapa lafaz hadis yang lain permohonan tiada kemarau dan tidak dikuasai orang kafir secara total juga diterima oleh Allah SWT menurut riwayat Imam Tirmizi.

Di samping ibrah sejarah Nabi Nuh AS itu, terdapat ulama yang mengambil berkat (tabarruk) atau sebagai wasilah (tawassul) dengan ayat 44 Surah Hud ini untuk memohon sesuatu kepada Allah SWT. Contohnya mereka bertabarruk atau bertawassul dengan ayat ini untuk memohon kepada Allah SWT agar menghentikan hujan dan menghindari banjir. Selain itu, terdapat ulama melakukannya untuk memohon kesembuhan penyakit daripada Allah SWT.

Menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab Zad al-Ma'ad, gurunya Imam Ibn Taimiyyah pernah menulis ayat 44 Surah Hud pada dahi lebih daripada seorang pesakit hidung berdarah dan mereka sembuh. Ia juga dicatat oleh Imam Ibn Muflih al-Hanbali dalam al-Adab al-Syar'iyyah, bahawa ia sebagai rukyah dan tabarruk dengan ayat al-Quran dalam rawatan jasmani. Rukyah ini juga disebut oleh Imam al-Zarqani dalam syarahannya terhadap kitab al-Mawahib al-Laduniyyah tulisan Imam al-Qastalani tanpa menyebut nama Imam Ibn Taimiyyah. Ia juga dikenali sebagai 'tajribah' atau 'mujarrabah' yang ringkasnya bermaksud pengalaman dan percubaan ulama yang berdasarkan ijtihad mereka ia tidak bercanggah dengan agama kerana sekurang-kurangnya ada dalil umum.

Timbul persoalan, bolehkah amalan tajribah ulama ini dilakukan jika Nabi SAW tidak melakukannya (ghair ma'thur)? Adakah ma'thur itu sunah yang menatijahkan pahala manakala ghair ma'thur itu bidaah yang menatijahkan dosa bahkan syirik?

Menurut Pusat Fatwa Mesir, ulama bersepakat bahawa al-tarku (ertinya lebih kurang: tiada dalil daripada Rasulullah SAW dan salaf soleh menunjukkan hukumnya adalah haram) bukanlah satu-satunya cara pendalilan kerana cara pendalilan adalah menggunakan nas (al-Quran dan hadis), ijmak dan qias. Ini adalah kesepakatan dalam kalangan ulama kerana terdapat 'shawahid' dan 'athar' (dalil) menunjukkan bahawa sahabat sendiri tidak berpandangan bahawa apabila Rasulullah SAW tidak buat maka hukumnya pasti haram atau makruh. Demikianlah apa yang fuqaha fahami sepanjang zaman menurut fatwa tersebut.

Disimpulkan daripada Pusat Fatwa Mesir juga bahawa, harus hukumnya untuk berzikir dan berdoa dengan lafaz ghair ma'thur. Ia bukan bidaah kerana masih termasuk dalil umum tentang zikir dan doa (bukan dalil khusus) tapi afdalnya adalah bertabarruk (tayammun) dengan lafaz ma'thur untuk tolak wabak (termasuk ujian banjir dan seumpamanya).

Menurut Pusat Fatwa Jordan, hukum pengharaman dengan hujah Nabi SAW dan sahabat tidak buat (al-tarku) adalah kaedah yang tidak digunakan oleh ulama. Perkara yang tidak dibuat oleh mereka belum tentu hukumnya haram. Disimpulkan daripada Pusat Fatwa Jordan juga bahawa zikir dan doa yang ma'thur lebih afdal berbanding selainnya manakala yang tidak ma'thur pula ia termasuk dalil umum tentang zikir dan doa. Ia tidak termasuk dalam perkara bidaah yang dilarang syarak.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, tidak salah untuk berdoa kepada Allah SWT dengan bertawassul dan bertabarruk dengan ayat al-Quran termasuk ayat 44 Surah Hud ini dengan membawa contoh tajribah Imam Ibn Taimiyyah tadi. Namun daripada sudut keutamaan, digalakkan agar masyarakat melazimi jua doa yang warid (datang) daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang berkat dan mujarab.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 20 Mac 2016 memutuskan bahawa antara ciri-ciri amalan dan fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah ialah menganggap tawassul, tabarruk dan istighasah sebagai bidaah serta mendakwa selawat syifa dan selawat tafrijiyyah susunan ulama (yakni tawassul dan tajribah) sebagai syirik. Fatwa ini juga menyatakan bahawa amalan tawassul, tabarruk dan istighasah diterima oleh jumhur ulama empat mazhab.

Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 23-24 Mei 2017 memutuskan bahawa amalan Ahli Sunah Waljamaah yang diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi termasuk dalam perkara khilafiah di sisi ulama dan fuqaha adalah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Antara amalan itu ialah tawassul.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 25 Mei 2012 bersetuju untuk melarang pembidaahan dan penghinaan terhadap amalan Ahli Sunah Waljamaah. Antara amalan itu ialah tawassul. Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 31 Mei 2016 bersetuju memutuskan bahawa amalan bertawassul dan bertabarruk tidak boleh dibidaahkan.

Kesimpulannya, doa dan zikir yang ma'thur adalah lebih afdal, tapi perlu difahami bahawa yang tidak ma'thur bukanlah bidaah kerana masih ada dalil umum sandarannya dan ia tetap berpahala. Jadi, umat Islam disarankan fokus berdoa dan membantu mangsa banjir yang melanda negara sekarang ini sekadar yang termampu.

Elakkan tanpa sedar menyakiti hati mangsa banjir dan sukarelawan yang membantu mereka dengan tuduhan bidaah serta syirik kerana mungkin mereka pun mengamalkan tajribah, tabarruk atau tawassul dengan ayat 44 Surah Hud ini.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 8:37 AM