KITA amat digalakkan meletakkan nama anak sempena nama para Nabi.
KITA amat digalakkan meletakkan nama anak sempena nama para Nabi.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Kelahiran seorang anak merupakan sesuatu yang dinantikan oleh pasangan ibu bapa. Zuriat adalah penyambung keturunan salasilah keluarga setiap manusia. Semua ibu bapa mengharapkan anak yang dilahirkan menjadi zuriat yang soleh dan solehah, menjadi penyejuk mata serta penawar hati. Doa yang selalu dan kerapkali dibaca selepas solat melaui firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)

Pemilihan nama yang sesuai

Nama yang baik menggambarkan peribadi dan sahsiah ibu bapa seseorang anak. Apabila pemilihan nama sedang dibuat, sudah tentu mereka akan memilih nama yang mempunyai maksud yang baik kerana ia akan dibawa hingga Hari Akhirat. Abu Darda' ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada Hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu dan juga nama bapa-bapa kamu, maka perelokkanlah nama-nama kamu." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW juga pernah memberikan nama kepada bayi pada hari dilahirkan. Antaranya ialah hadis daripada Abu Musa al-Asy'ari RA yang menceritakan: "Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Rasulullah SAW, maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Panduan memilih nama anak

Pada zaman dahulu, ramai dalam kalangan masyarakat Melayu Islam meletakkan nama berdasarkan tema peristiwa ketika kelahiran bayi. Sebagai contoh apabila seseorang itu dilahirkan pada hari Isnin, maka bayi itu akan diletakkan nama hari tersebut. Jika lahir pada bulan Ramadan, maka bayi tersebut akan diletakan namanya sempena bulan tersebut. Ada juga dalam kalangan mereka yang meletakkan nama berdasarkan alam semula jadi dan lain-lain. Manakala pada masa kini pula, lain pula keadaannya. Kebanyaan ibu bapa muda akan meletakkan nama anak berdasarkan nama tokoh, selebriti atau orang terkenal sebagai nama anak. Ada juga yang meletakkan nama-nama orang bukan Islam sebagai sebahagian daripada nama anak mereka. Jika maknanya baik, tidak menjadi masalah, tetapi jika namanya membawa makna yang tidak baik, kesannya akan berpanjangan kepada anak terbabit.

Oleh itu panduan memilih nama perlu diambil berat supaya ia bersesuaian dengan perintah Allah SWT dan Rasul SAW. Selain itu, nama yang paling baik ialah nama-nama yang dikaitkan dgn nama-nama Allah SWT yang mulia (al-Asma' al-Husna) seperti Abdullah dan Abdurrahman, sebagaimana dalam sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA: "Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah daripada nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Di samping itu juga, kita amat digalakkan meletakkan nama anak sempena nama para Nabi seperti Yusuf, Nuh, Ibrahim, Musa, Saleh, Muhammad dan lain-lain. Rasulullah SAW sendiri telah menamakan salah seorang putera baginda dengan nama datuknya iaitu Ibrahim. Baginda SAW bersabda:  "Berikanlah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah  Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah  Harith dan Hamam, dan nama yang paling buruk ialah  Harb dan Murrah." (Riwayat Abu Daud, an-Nasai)

Namun begitu, sebahagian ulama berpendapat meletakkan nama Rasulullah SAW semata-mata sebagai nama, hukumnya adalah makruh dan ada yang mengharuskannya. Ini berdasarkan peristiwa Jabir bin Abdullah RA menceritakan: "Seorang lelaki dalam kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu 'Muhammad'. Lalu kaumnya berkata: "Kami tidak akan membiarkan kamu memberikan nama dengan nama Rasulullah SAW." Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi SAW dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; "Wahai Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya Muhammad, lalu kaumku berkata kepadaku; "Kami tidak akan membiarkan kamu menamakannya Muhammad." Lantas Rasulullah SAW menjawab: "Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggilnya dengan gelaranku (iaitu Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah al-Qasim (pembahagi) yang membahagikan di antara kamu." (Riwayat Imam Muslim)

Masa memberikan nama

Menurut pendapat para ulama memberikan nama boleh dan harus pada bila-bila masa selepas bayi tersebut dilahirkan. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan. Pendapat ini berdasarkan apa yang dinyatakan oleh  Mughni al-Muhtaj  (4/294),  al-Majmuk Syarh al-Muhazzab  (8/435),  Hasyiyah ibn 'Abidin  (5/213),  Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil  (3/256),  Kasyaf al-Qina' (3/25),  Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud  (ms.71). Rujukan ini boleh didapati di laman sesawang rasmi fatwa Mufti Wilayah Persekutuan.

Cuma, para ulama berbeza pandangan mengenai waktu yang disunatkan untuk memberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan. Antaranya ialah sunat hukumnya nama diberikan pada hari ketujuh kelahirannya. Ini adalah pendapat  jumhur  ulama dalam mazhab Syafi'e, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Mereka berhujah dengan beberapa hadis Nabi SAW, antaranya: "Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya" (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, ada pendapat yang menyatakan hukumnya sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari kelahiran anak tersebut. Ini adalah pendapat sebahagian ulama dalam mazhab asy-Syafi'e dan Hanbali. Mereka berhujah dengan dalil daripada al-Quran dan hadis SAW. Antaranya ialah firman Allah SWT:  "Dan Aku (Allah) telah menamakannya Maryam." (Surah Ali Imran: 36). Satu lagi hadis Nabi SAW maksudnya:  Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW telah bersabda:  "Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki pada satu malam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim." (Hadis Riwayat Muslim)

Di samping itu, ada juga pendapat para ulama yang menyatakan sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya jika anak tersebut hendak dilaksanakan akikah untuknya pada hari tersebut. Ini adalah pendapat sebahagian daripada ulama yang bermazhab Syafi'e, Maliki dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari.

Oleh itu, kita mesti memastikan pemilihan nama anak-anak kita diletakkan dalam keadaan yang terbaik. Ini penting supaya ia tidak menimbulkan fitnah dan kesukaran kepada ibu bapa, anak itu sendiri dan masyarakat sekeliling. Jika nama yang diletakkan itu amat ganjil dan pelik, ia akan menyebabkan beliau akan dipandang serong apabila dewasa kelak. Pilihlah nama-nama yang terbaik dan mempunyai maksud yang indah dengan merujuk kepada pakar bahasa Arab, bukan semata-mata merujuk laman sesawang di internet atau nama-nama di sebahagian buku di pasaran yang mempunyai terjemahan yang kurang tepat

Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 7:01 AM