MOHD Shafik  mempamerkan bakatnya menunggang motosikal cupcross.
MOHD Shafik mempamerkan bakatnya menunggang motosikal cupcross.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: “Saya sanggup simpan wang RM100 sebulan semata-mata untuk mengubah suai motosikal itu menjadi motor cupcross kerana terlalu minat dengan aktiviti lasak itu,” kata Mohd Shafik Md Kamil, 19, dari Kampung Sungai Ikan ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Mohd Shafik berkata, dia sudah menghabiskan lebih RM3,000 untuk mengubah suai motosikal Honda EX5 miliknya untuk dijadikan motor cupcross bagi membabitkan diri dengan aktiviti itu.

“Biarpun banyak wang dihabiskan untuk mengubah suai motosikal itu namun ia memberi kepuasan kepada saya apabila motosikal itu mampu memberi saingan ketika perlumbaan.

“Lebih manfaat apabila pembabitan saya dalam aktiviti itu secara tidak langsung mengasah kemahiran membaiki motosikal yang sedia ada.

“Di samping mengubah suai motosikal sendiri, saya juga mengambil upah membaiki dan mengubah suai motosikal kenalan rapat dan meraih pendapatan yang agak lumayan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu mekanik jentera berat di bengkel bapanya.

Shafik berkata, dia meminati aktiviti cupcross sejak berusia 11 tahun dan belajar membawa motosikal itu daripada bapanya, Md Kamil Md Husin, 59.

“Pada umur 11 tahun saya sudah dilatih. Justeru tiada perasaan takut dan gerun membawa motosikal itu di kawasan berliku.

“Sehingga kini sudah banyak kejohanan lumba motosikal itu disertai dan pernah menjadi juara pada Kejohanan Motocross Kuala Nerus ketegori cupcross 2016,” katanya.

 MOHD Shafik  (kanan)  bersama motosikal cupcross miliknya.
MOHD Shafik (kanan) bersama motosikal cupcross miliknya.

Tambahnya, motosikal cupcross itu hanya sekadar batu lonjatan dan pendedahan awal kepadanya sebelum terbabit dengan kategori motorcross yang lebih mencabar.

“Cita-cita saya untuk mewakili negara dalam kejohanan motocross dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Bagaimanapun, saya perlu bermula dari bawah sebelum menyertai kategori itu supaya boleh menguasai teknik membawa motocross itu dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dia bercadang mengumpul wang bagi membeli scrambler bagi menyertai kategori motocross pada masa akan datang.

“Saya akan mula berlatih membawa motosikal scrambler sebelum menyertai sukan motocross itu dengan lebih serius,” katanya.

Sementara itu bapanya, Md Kamil berkata, dia memang sedia maklum minat dan bakat dimiliki anaknya itu.

“Saya merestui minat Shafik dalam sukan itu kerana menyedari bakat semula jadi yang dimilikinya.

“Sebagai bapa saya yakin dengan kemampuan Shafik dalam sukan permotoran itu dan berharap cita-citanya untuk mewakili negara dalam arena itu tercapai pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 10:53 AM