MENERIMA pengiktirafan MBR.
MENERIMA pengiktirafan MBR.
Lizam Ridzuan


BUKAN 'kaleng-kaleng' aktiviti kelab kereta ini kerana ia menampilkan pemilik kereta sport prestasi Ferrari yang nilainya mencecah jutaan ringgit.

Menerusi kerjasama bersama Shell Malaysia, Kelab Pemilik Ferrari Malaysia (FOCM) menganjurkan Festival FOCM 2024 di Bandar Malaysia Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Acara ini berjaya mengumpulkan 297 Ferrari dan menerima pengiktirafan dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) sebagai acara paling banyak mengumpulkan kereta Ferrari dalam satu acara.

Sijil itu diterima oleh Presiden FOCM Abu Rizal Bakri dan Pengarah Eksekutif Ital Auto Malaysia Zahir Kelvin Ong.

Bandar Malaysia dipenuhi dengan pelbagai model Ferrari klasik dan moden seperti Ferrari 308 GTS, 328 GTB, Dino, F355 Berlinetta, 360 Modena dan sehingga yang terkini seperti 458 Italia, SF90 Stradale dan LaFerrari Aperta.

Acara ini juga bukan sekadar untuk mencipta rekod, malah menarik minat pemilik dari negara jiran untuk sama-sama memeriahkan komuniti Ferrari di rantau ini.

Sebelum ini FOCM pernah mencipta rekod sama pada 2010 dengan kehadiran 144 Ferrari yang mengatasi jumlah 139 di Sydney pada 2007.

Menerusi pertambahan sekali ganda dicatatkan pada edisi 2024, FOCM mempunyai reputasi tinggi sebagai pendahulu kelab pemilik Ferrari di rantau ini.

Selain berkumpul, antara aktiviti lain yang diadakan ialah pameran model lama Ferrari, persembahan DJ dari Korea yang popular iaitu DJ Soda, pertandingan simulator F1 selain jualan pelbagai produk dan promosi.

Pada majlis sama Shell Malaysia melancarkan kempen pemasaran terbaharu menerusi Shell V-Power yang disyorkan oleh Scuderia Ferrari untuk kenderaan mereka.

Ia kini 100 peratus membersih bahagian enjin kritikal bagi meningkatkan prestasi enjin setiap kali isian, pemanduan demi pemanduan.

Melalui pengalaman lebih seabad dalam inovasi bahan api, formulasi terkini Shell V-PowerRacing tampil dengan prestasi terbaik untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan.

Ferrari kini di bawah syarikat baharu Ital Auto Malaysia sebagai pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia, yang mana mereka memperkenalkan model Ferrari Purosangue dan Roma Spider pada penghujung 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:00 AM