FERRARI Purosangue. FOTO FATHIL ASRI
FERRARI Purosangue. FOTO FATHIL ASRI
Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Ital Auto Malaysia, pengedar eksklusif kenderaan mewah Ferrari di Malaysia, merasmikan pembukaan ruang pameran pertama jenama itu di negara ini.

Pengarah Eksekutifnya, Zahir Kelvin Ong Abdullah berkata, ruang berkeluasan 3,826 kaki persegi dan terletak di lokasi strategik di sini itu, sebagai memenuhi permintaan peminat jenama itu yang semakin berkembang di negara dan rantau ini.

"Selain menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan, ia juga menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih baik seiring dengan standard jenama itu sebagai mewah prestasi dunia," katanya ketika perasmian ruang pameran itu di sini, hari ini.

Ruang pameran itu yang boleh memuatkan dua kenderaan pada satu-satu masa juga. Sejajar dengan Identiti Korporat Ferrari (CI), ia menyediakan lounge dan perpustakaan mini dengan pelbagai bahan bacaan.

Dalam majlis sama, dua model baharu Ferrari untuk pasaran tempatan dilancarkan iaitu Roma Spider dan kenderaan empat pintu dan empat tempat duduk pertama jenama itu, Purosangue.

Untuk Roma Spider, ia dikuasakan dengan enjin 3.9 liter V8 Pengecas Turbo dengan kuasa 620 PS dan tork 760Nm serta ciri bumbung material lembut boleh buka dan tutup dalam tempoh 13.5 saat.

Untuk Purosangue, ia dijana dengan enjin 6.5 liter Naturally Aspirated pacuan semua roda yang menjana kuasa 725 PS dan tork 716Nm pada 6,250 rpm.

Untuk pasaran Malaysia, Ferrari Roma Spider dijual pada harga RM3.2 juta, dan Purosangue pada harga RM5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 4:42 PM