FERRARI Portofino.
FERRARI Portofino.
Lizam Ridzuan

Mula diperkenalkan ketika Pameran Motor Frankfurt 2017, Ferrari Portofino menggabungkan elemen kemewahan, versatil dan selesa untuk sebuah kereta Grand Tourer yang memasuki pasaran tempatan baru-baru ini.

Malaysia sebagai negara kedua dalam Asia Tenggara selepas Singapura menerima model ini yang juga sebagai gantian kepada Ferrari California T kini dikuasakan dengan enjin Ferrari 3.9 liter V8 Turbo yang memenangi Anugerah Enjin Tahunan Antarabangsa pada 2016 dan 2017.

Kepuasan memandu dapat dirasakan dengan kuasa kuda 590hp serta daya kilas sehingga 760Nm yang dilengkapi transmisi dwiklac F1 tujuh kelajuan, mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 3.5 saat pada kelajuan maksimum mencecah 320km/j.

Antara ciri baru Portofino ialah casis 80 kilogram (kg) dengan lebih ringan serta bumbung ‘hardtop’ yang boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 14 saat pada kelajuan kenderaan sekitar 40km/j.

Portofino juga adalah GT pertama dipasang dengan Stereng Kuasa Elektrik (EPS) yang mengurangkan nisbah stereng sebanyak tujuh peratus untuk kawalan lebih responsif dan stabil pada kelajuan tinggi serta sistem redaman magnetorheological (SCM-E) dipertingkatkan untuk menyerap pelbagai keadaan permukaan jalan bagi pemanduan lebih dinamik.

Ciri ruang dalaman terkini dengan sistem maklumat dan hiburan seperti skrin sesentuh bersaiz 10.2 inci, pendingin hawa yang selesa, tempat duduk 18 larasan elektrik, paparan untuk penumpang dengan ruang kaki yang selesa serta ‘deflector’ yang mengurangkan angin masuk ke dalam kabin sehingga 30 peratus untuk lebih senyap ketika bumbung dibuka.

Naza Italia Sdn Bhd pengimport dan pengedar eksklusif kenderaan jenama Ferrari di Malaysia menjangkakan model ini akan menjadi ‘game changer’ untuk jualan kenderaan jenama itu di Malaysia dan pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif), Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata Portofino V8 GT bukan sekadar pemanduan dinamik malah menawarkan jentera untuk gaya hidup dengan tempat duduk 2+2, rekaan yang maskulin, keselesaan dan berprestasi.

“Ia adalah model ‘convertible’ paling berkuasa dalam segmen Grand Tourer serta kombinasi prestasi dan inovasi berteknologi tinggi untuk memenuhi keperluan pelanggan kami bagi disesuaikan dengan taraf hidup mereka,” katanya ketika pelancaran.

Harga jualan asas untuk Ferrari Portofino di Malaysia bermula daripada RM948,000 (tidak termasuk cukai dan opsyen binaan khas) dan pemilik pertama akan menerima model yang ditempah pada suku keempat tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 2:10 AM