REKAAN 2019 tampil lasak dan maskulin.
REKAAN 2019 tampil lasak dan maskulin.
Lizam Ridzuan

Menyerlahkan gaya sporty dan ciri pemanduan ekstrem adalah elemen terkini untuk Mitsubishi Triton/L200 generasi baharu 2019 yang diperkenalkan untuk pasaran global di Thailand oleh Mitsubishi Motors Corporation (MMC), baru-baru ini.

Dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif MMC Osamu Masuko, paling ketara perubahan trak pikap itu adalah rekaan hadapan dengan perisai Dinamik Termaju melihatkan keteguhan pada gril krom dengan kedudukan lampu yang dinaikkan sebanyak 100 milimeter (mm) bagi pencahayaan yang lebih baik.

Konsep rekaan Rock Solid juga diikuti dengan lampu fungsi pada kedudukan 700mm dari permukaan jalan untuk lebih jelas dan tidak mudah rosak ketika melintasi laluan berair.

Lampu hadapan LED dengan Nyalaan Siang (DRL) direka lebih harmoni untuk padanan pada gril dengan imej lebih tajam terutama ketika bercahaya.

Pada bahagian sisi, karakter garisan dari hadapan ke belakang melihatkan ia lebih luas manakala pada bahagian dapra yang bagai terpotong kemas menyerlahkan kemantapan untuk dipadankan dengan tayar bersaiz 17 dan 18 inci.

BAHAGIAN sisi tampil ciri lebih lebar dan sporty.
BAHAGIAN sisi tampil ciri lebih lebar dan sporty.

Untuk bahagian belakang Triton baharu ini dipasang lampu LED empat segi tepat lebih besar dengan bampar yang lebih kukuh serta ruang kargo boleh dipadankan dengan aksesori tambahan untuk gaya sporty.

Menjengah ke bahagian ruang dalaman, trak pikap yang baru saja menyambut ulang tahun ke-40 itu kini lebih moden pada konsol dan panel tengah yang diperkemaskan dengan kombinasi elemen logam bagi ciri lebih lasak dan kawalan pendingin hawa hadapan dan belakang untuk kesesuaian suhu bagi keseluruhan kabin.

Faktor keselesaan umpama kenderaan utiliti sukan (SUV) juga ditawarkan dengan kemasan lembut pada bahagian yang sering disentuh seperti pelapik konsol lantai, perehat lengan, kemasan pintu dan brek parkir yang kini diberi perincian seperti ruang meletak telefon pintar untuk bahagian hadapan dan belakang, terminal USB tersedia dan kerusi tempat duduk kombinasi material kulit.

RUANG dalaman moden.
RUANG dalaman moden.

Untuk pemanduan, ia masih mengekalkan enjin 2.4 liter DOHC MIVEC VGT Diesel, namun dengan ciri lasak yang dipertingkatkan seperti Super-Select 4WD yang menawarkan cengkaman optimum dan karakter kawalan mengikut permukaan jalan atau Easy-Select 4WD yang memudahkan pertukaran mod pemanduan untuk pelbagai permukaan jalan.

Mod off-road terbaharu ditawarkan ialah Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock yang akan mengawal kuasa penghantaran enjin, membrek serta mengurangkan gelinciran roda dengan memaksimumkan prestasi all-terrain dan self-extraction terutama dalam lumpur dan salji.

Triton 2019 juga dilengkapi fungsi Kawalan Menurun Bukit dengan kelajuan dikawal secara elektronik membolehkan pemandu mengawa jentera dengan lebih fokus, selamat dan tepat.

Elemen keselamatan terbaharu yang diperkenalkan iaitu Pengurangan Perlanggaran Hadapan (FCM), Amaran Titik Buta dan Bantu Ubah Laluan (BSW dengan LCA), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan Sistem Pengurangan Terlepas Pecutan Ultrasonik (UMS) dengan monitor 360 darjah untuk paparan bird’s eye view sekitar kenderaan dan pengesan parkir.

SELESA umpama SUV.
SELESA umpama SUV.

Sistem kotak gear transmisi lima kelajuan kini digantikan enam kelajuan automatik dengan mod sport untuk aliran kuasa lebih lancar, daya membrek lebih tangkas dengan diameter cakera besar 2pod serta penyerap kejutan dan suspensi belakang ditingkatkan kapasiti untuk pemanduan lebih selesa.

Tiga warna baharu diperkenalkan iaitu Putih Diamond, Oren Sunflare, Kelabu Graphite selain Perak Sterling dan Jet Hitam Mica bagi pilihan yang lebih menarik kepada pengguna.

Untuk Thailand ia mula dijual 17 November dan Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan melakukan previu rasmi Triton baharu ini ketika acara Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2018) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 23 November sehingga 2 Disember hadapan.

MASUKO (dua dari kanan).
MASUKO (dua dari kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:01 AM