Intan Mas Ayu Shahimi

Tidak ramai wanita yang masih mengekalkan disiplin senaman saat kehamilan memasuki trimester ketiga. Majoriti lebih selesa memanjakan diri dengan hidangan enak, bercuti, melancong mahupun membuat persiapan akhir sebelum kelahiran bayi.

Lebih membimbangkan apabila ada segelintir wanita hamil yang lebih suka duduk berehat sambil membaca atau menonton televisyen untuk jangka masa yang panjang.

Sebaik-baiknya, banyakkan pergerakan di fasa terakhir kehamilan untuk membantu memudahkan proses kelahiran, melancarkan perjalanan darah dan menguatkan otot tubuh.

Sejak dulu, senaman memang banyak membantu mengekalkan tahap kesihatan dan meningkatkan stamina individu. Lebih-lebih lagi jika hamil. Berbanding letih, bersenam sebenarnya boleh membuat wanita hamil berasa lebih selesa.

Pada masa sama, ia juga boleh meningkatkan kecergasan diri, memperbaiki posisi badan dan mengurangkan sakit belakang serta keletihan sepanjang tempoh kehamilan.

Ketika tubuh bergerak aktif, aliran darah menjadi lebih lancar kerana banyak oksigen dihantar ke otak dan seluruh badan. Inilah yang membuatkan wanita berasa segar dan bertenaga.

Kata Ketua Perkhidmatan Fisioterapi Siti Suraiya Yusa, senaman masih selamat biarpun untuk ibu hamil trimester ketiga, malah memberi banyak manfaat asalkan ia dilakukan dengan betul pada kadar termampu.

SITI Suraiya.
SITI Suraiya.

“Rutin senaman asas yang paling mudah dan wajib dilakukan wanita tidak kira hamil atau tidak adalah senaman kegel. Senaman ini boleh dilakukan di mana saja, tidak kira masa. Ia langsung tidak membebankan, malah memberi banyak manfaat kepada wanita khususnya membantu menguatkan otot pelvis.

“Sebelum melakukan senaman, perlu diingatkan supaya bakal ibu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu. Dia juga harus tahu sama ada tubuhnya mampu atau tidak untuk melakukan senaman, terutama apabila sudah masuk trimester ketiga,” katanya.

Jelas Siti Suraiya, pada fasa akhir kehamilan, lazimnya wanita digalakkan melakukan regangan tubuh dan memfokuskan kepada senaman kegel, pernafasan, perut dan otot paha.

Ikuti langkah senaman berikut sebagai panduan. Pastikan anda ditemani suami atau teman. Elakkan pergerakan mengejut dan berhenti jika merasa penat. Ulang langkah senaman mengikut kiraan sama.

1. DALAM keadaan berbaring, bengkokkan kaki. Cuba angkat otot bahagian bawah secara perlahan dan tahan pada kiraan lima.
1. DALAM keadaan berbaring, bengkokkan kaki. Cuba angkat otot bahagian bawah secara perlahan dan tahan pada kiraan lima.

2. PADA posisi merangkak, tolak tubuh melengkung ke atas secara perlahan dan tahan seketika.
2. PADA posisi merangkak, tolak tubuh melengkung ke atas secara perlahan dan tahan seketika.

3. KEKAL pada posisi sama, tolak tubuh melentik ke bawah dan tahan pada kiraan sama.
3. KEKAL pada posisi sama, tolak tubuh melentik ke bawah dan tahan pada kiraan sama.

4. KEMBALI berbaring dengan kaki dibengkokkan dan tolak tubuh ke atas.
4. KEMBALI berbaring dengan kaki dibengkokkan dan tolak tubuh ke atas.

5. GUNAKAN bola, cuba angkat dan luruskan tubuh seketika.
5. GUNAKAN bola, cuba angkat dan luruskan tubuh seketika.

6. BARING mengiring, cuba angkat kaki dan luruskan dalam kiraan lima. Sokong tubuh dengan kedudukan tangan yang betul.
6. BARING mengiring, cuba angkat kaki dan luruskan dalam kiraan lima. Sokong tubuh dengan kedudukan tangan yang betul.

7. PADA posisi merangkak, luruskan tangan kanan dan kaki kiri. Ulang secara berlawanan.
7. PADA posisi merangkak, luruskan tangan kanan dan kaki kiri. Ulang secara berlawanan.

8. REGANGKAN badan dengan menarik otot lengan sambil meluruskan postur tubuh.
8. REGANGKAN badan dengan menarik otot lengan sambil meluruskan postur tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 12:52 PM