KSSA terapkan elemen kelestarian alam.
KSSA terapkan elemen kelestarian alam.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang menerapkan elemen mitigasi banjir dan kelestarian alam adalah langkah yang terbaik.

Melalui pengintegrasian itu, ia bukan hanya menjalankan fungsi sebagai kompleks pelbagai guna semata-mata, tetapi dapat menangani perubahan iklim khususnya masalah banjir yang berlaku di Shah Alam.

Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Malaya (UM), Dr Nikmatul Adha Nordin berkata, aspek itu perlu diterapkan selain pengutamaan kepada aspek penempatan.

"Bila kita buat sesuatu pembangunan, ia perlu berkebolehan untuk beradaptasi, contohnya menjadi tempat perlindungan sementara. Jadi, bagus juga," katanya.

DR Nikmatul Adha.
DR Nikmatul Adha.

Nikmatul Adha turut memberi contoh pengalamannya semasa kejadian banjir besar yang berlaku di Shah Alam pada 2021 apabila sebuah masjid 'beradaptasi' sebagai tempat perlindungan orang ramai.

"Saya pernah 'sangkut' semasa banjir di Shah Alam pada 2021 dan ada masjid yang mempunyai homestay. Jadi, saya berlindung di homestay itu. Esok pagi, masjid itu sudah jadi tempat untuk orang berlindung daripada banjir.

"Itulah maksud saya, ia (KSSA) kena beradaptasi. Bukan hanya menjalankan fungsi sebagai kompleks sahaja, tetapi pada masa sama, boleh menempatkan mangsa banjir," katanya.

Katanya, langkah pembangunan KSSA yang mempunyai ciri-ciri reka bentuk konsep sponge city dengan penggunaan bioswale di kawasan rekreasi dan juga kolam takungan bawah tanah seluas 10 ekar oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) amat baik.

"Satu pembangunan harmoni dengan alam sekitar. Ia menggunakan rumput dan penutupannya boleh menyerap air. Saya rasa ia baik.

"Memang semua bandar kena buat macam ini. Kita kena buat bangunan yang boleh menjalankan (pelbagai) fungsi," katanya.

Fungsi pengintegrasian KSSA disekalikan dengan projek komersial dan mempunyai hab pengangkutan bersepadu dilihat dapat mengurangkan perjalanan sesebuah keluarga.

"Sesebuah keluarga itu boleh melakukan macam-macam riadah. Pada masa sama boleh buat aktiviti komersial, kemudian ada stesen LRT (transit aliran ringan) yang tak perlu bawa kereta.

"Perkara ini menyumbang kepada kelestarian alam. Kalau macam dahulu, banyak bangunan dibina tidak memikirkan hal itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor berkata, reka bentuk futuristik, teknologi hijau dan kemudahan canggih memenuhi piawaian antarabangsa yang diterapkan dalam pembangunan KSSA menjamin kelestarian berterusan projek bersepadu itu.

Menurutnya, beberapa komponen Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) mencirikan pembangunan hijau berstrategi jangka panjang.

DR Mohd Zairul.
DR Mohd Zairul.

"Dengan tiga komponen iaitu SDG 7: Tenaga Bersih dan Mampu Milik; SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG 13: Tindakan Iklim, ia mencerminkan pembangunan yang mengambil berat isu kelestarian yang bukan hanya terletak pada bangunan, tetapi membabitkan seluruh infrastruktur dengan pelan bersepadu.

"Konsep pembangunan bercampur (mix development) akan memastikan projek selari dengan hasrat kerajaan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 di samping mewujudkan kompleks dengan infrastruktur lengkap diimbangi pembukaan hotel dan ruang komersial lain berdekatan hab pengangkutan bersepadu," katanya.

Mohd Zairul yang juga Ahli Jawatankuasa Induk Kelestarian Hijau UPM berkata, pembangunan KSSA akan memperluaskan kegunaannya kepada fungsi lebih bersepadu.

"Hal ini memanjangkan tempoh kelestarian apabila satu tempat dibangunkan infrastruktur lengkap dengan hab pengangkutan (oriented development) yang menjadi tarikan seluruh kelompok masyarakat.

"Selain itu, pembangunan KSSA mengambil kira aspek persekitaran hijau yang memberi manfaat kepada penduduk dan tentunya diputuskan sebelum dimulakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 9:01 AM