Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pembangunan semula Stadium Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka dilaksanakan kerajaan Selangor seawal tahun hadapan dengan kos yang ditetapkan sekitar RM787 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri memberikan surat niat kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi cadangan terperinci mengenai pembangunan baharu bangunan yang berusia hampir 30 tahun itu.

Menurutnya, syarikat terbabit diminta menyerahkan cadangan terperinci mengenai pelan penambahbaikan atau pembangunan semula stadium berkenaan

"Keputusan untuk mengadakan pembangunan semula ini diambil selepas proses yang panjang dan teliti dilaksanakan sejak 2013.

"Kerajaan negeri menyedari maklum balas orang ramai mengenai Stadium Shah Alam ini yang mana ada yang mahu ia dibaiki seterusnya mengembalikan zaman kegemilangannya malah ada juga yang merasakan bahawa ia haru dibina semula dengan kemudahan moden.

AMIRUDIN (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan Surat Niat oleh Haris (dua dari kiri) kepada Dell Akbar Khan (dua dari kanan) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
AMIRUDIN (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan Surat Niat oleh Haris (dua dari kiri) kepada Dell Akbar Khan (dua dari kanan) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

"MRCB dilantik selepas melalui proses pemilihan ketat yang menyaksikan 15 syarikat lain mengambil bahagian termasuk syarikat antarabangsa dan syarikat tersenarai awam yang lain.

"Kita juga melihat kemampuan kewangan MRCB serta pengalaman syarikat itu dalam membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun 2017," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Amirudin terdahulu menyaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim menyampaikan LOI tersebut kepada Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek pembangunan itu akan menjadi perkongsian awam-swasta dengan MRCB menanggung kos pembangunan dan syarikat itu akan dianugerahkan pertukaran tanah (land swap) kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.

"Projek ini akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan itu seperti lokasi strategiknya dan jaraknya yang dekat dengan stesen bagi laluan Transit Aliran Ringan (LRT3) yang dijadualkan beroperasi menjelang 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:29 PM