Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) lebih wajar dilaksanakan berbanding membaik pulih fasiliti sedia ada yang berusia lebih 30 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ts Saipolyazan M Yusop berkata, pembangunan semula lebih berkesan dari segi kos kerana fasiliti stadium lama terlalu uzur dan memerlukan kos pembaikan yang besar dan mahal.

"Kalau kita tengok bumbung yang ketara (rosak), peralatan elekronik, mekanikal dan sebagainya adalah 'beyond economical repairs' jadi kena ganti keseluruhannya.

"Jika kita gantikan mungkin untuk jangka panjang, kos penyelenggaraannya lebih tinggi berbanding kita pasang peralatan baharu mungkin permulaannya mahal.

"Tetapi jangka masa panjang, kita dapat kurangkan kos penyelenggaraan," katanya dalam sesi temubual khas bersama kumpulan Media Prima Berhad, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata, pembangunan KSSA akan memberikan nafas baharu kepada stadium lebih canggih, berteknologi tinggi dan efisien selain memenuhi standard antarabangsa.

"Dengan pembinaan baharu, kita akan gantikan peralatan lebih efisien berbanding peralatan lama selain stadium itu sendiri ada 'retractable pitch' (padang boleh alih). Kita dapat gunakan untuk hoki dan pelbagai jenis sukan termasuk aktiviti lain yang secara automatik akan menjana pendapatan.

Saipolyazan ketika sesi temubual khas bersama kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita. FOTO EFFENDY RASHID
Saipolyazan ketika sesi temubual khas bersama kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita. FOTO EFFENDY RASHID

"Malah, KSSA juga akan dilengkapi dengan peruncitan, teater tertutup, hotel dan hab pengangkutan yang akan menyokong operasi stadium selain Pasar Ahad kita turut modenkan," katanya. Katanya, perancangan pembangunan KSSA dibuat teliti bagi memastikan kelangsungan operasi fasiliti itu untuk 30 tahun akan datang tanpa perlu bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan.

"Kita faham nilai sentimental (kerana) pelbagai sejarah berlaku di situ (Stadium Shah Alam), tetapi kita melihat secara keseluruhan sebab kajian dibuat secara terperinci macam mana kita hendak bertahan untuk mungkin 20 hingga 30 tahun akan datang.

"Jadi, apabila kita lihat dari nilai komersial, kita jangka stadium dengan elemen kita ada ini, akan dapat selain menyediakan infrastruktur inklusif kepada masyarakat dan peminat sukan, matlamat kita juga pastikan stadium ini tidak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan untuk beroperasi," katanya.

Semalam, pembangunan KSSA mula dilaksanakan dengan perobohan Stadium Shah Alam secara berperingkat selepas syarikat pemaju mendapat permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pembangunan KSSA yang turut dilengkapi dengan taman rekreasi dan pusat beli-belah membabitkan tiga fasa sebelum dijangka siap pada 2029.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 12:38 PM