Aliff Aziz hadir pada Kes cerai Bella Astillah dan Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Aliff Aziz hadir pada Kes cerai Bella Astillah dan Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Selepas gagal hadir pada prosiding sebutan kali pertama pada 13 Mac lalu, pelakon Aliff Aziz akhirnya muncul di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Tampil mengenakan baju kemeja hitam dan bersongkok, Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, tiba di perkarangan mahkamah pada jam 12 tengah hari dengan ditemani ahli keluarganya yang berasal dari Singapura.

Antara yang hadir ialah ibu bapanya iaitu Siti Hafizah Basharahil dan Aziz Sapdan.

Aliff ketika ditemui bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen berhubung permohonan cerai yang dibuat isterinya, Bella Astillah.

Terdahulu mahkamah terpaksa menetapkan sebutan semula kes pada hari ini selepas Alif tidak dapat hadir kerana terbabit dengan penggambaran drama.

Untuk rekod pasangan itu berkahwin pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Sebelum ini pada 16 Mei 2019 Bella dan Aliff pernah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Namun pasangan itu kemudian rujuk semula ketika Bella masih dalam edah.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 12:20 PM