Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Biarpun Bella Astillah bertekad untuk bercerai, namun penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz enggan melafazkan cerai terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini.

Aliff menyatakan pendiriannya di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Bella pada 11 Mac lalu mengikut seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. 

Pada prosiding yang berlangsung jam 12 tengah hari itu, Hakim Syarie Wan Mohd Najib bersetuju dengan wakil yang dilantik kedua-dua belah untuk proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Aliff yang hadir pada prosiding hari ini enggan melafazkan cerai terhadap Bella kerana masih menyayangi isteri dan anak-anaknya.

"Benar Yang Arif, tidak bersetuju. Ini bukan suatu keputusan yang boleh difikirkan dalam satu hari, saya perlukan masa untuk berfikir bagi membuat keputusan yang besar ini.

"Ya saya masih sayangkan keluarga ini," katanya.

Aliff Aziz hadir pada Kes cerai Bella Astillah dan Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Aliff Aziz hadir pada Kes cerai Bella Astillah dan Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS

Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat kemudian menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan bagi laporan JKP yang diwakili ibu Aliff, Siti Hafizah Basharahil dan kakak angkat Bella, Roslinda. 

Pasangan itu hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarga kedua-dua belah pihak. 

Sebelum ini, Aliff sepatutnya hadir pada sebutan kali pertama kes perceraian mereka pada 13 Mac lalu, namun Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, sebagai defendan tidak hadir kerana urusan kerja selain terbabit dengan penggambaran.

Untuk rekod pasangan itu berkahwin pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Terdahulu pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 1:47 PM