Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Bella Astillah bersyukur apabila lafaz cerai talak satu yang dibuat suaminya yang juga penyanyi Aliff Aziz di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini dipermudahkan dan berjalan lancar.

Bella berkata, fokus utamanya kini adalah untuk meneruskan kehidupan dan menjalankan tanggungjawab kepada anak-anaknya.

"Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Harapnya ini adalah kali terakhir saya berada di mahkamah.

"Syukur semuanya dipermudahkan dan saya percaya orang luar pun sudah penat dengan kes kami, apatah lagi saya yang menanggungnya.

"Terima kasih kepada peguam yang permudahkan segala urusan perceraian ini. Sekarang adalah fasa untuk saya 'move on' sebab banyak lagi nak buat termasuk menjaga anak-anak," katanya.

Menurut Bella, sebab utama dia tidak membuat sebarang tuntutan terhadap Aliff kerana sudah memiliki harta yang paling besar dalam hidupnya iaitu anak-anak.

"Saya tidak minta apa-apa sebab harta yang paling bermakna dalam hidup saya adalah anak-anak.

"Lagipun saya enggan memanjangkan kes ini lagi dan tak harapkan apa-apa daripada dia," katanya.

Ditanya apakah ucapan terakhir yang ingin diberikan kepada Aliff, Bella berkata, dia hanya mendoakan yang terbaik untuk bekas suaminya itu.

"Saya doakan yang baik-baik saja untuk dia," katanya.

Terdahulu rumah tangga pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah sekali lagi menemui jalan perpisahan selepas Aliff melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Hakim Syarie Wan Mohd Najib merekodkan perpisahan pasangan ini selepas penyanyi kelahiran Singapura itu melafazkan talak satu pada jam 1.11 tengah hari mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada prosiding perceraian yang berlangsung, kedua-dua belah pihak sebelum ini bersetuju untuk membuat beberapa perjanjian sebelum proses perceraian dilakukan.

Antara perjanjian yang dilakukan adalah Bella tidak menuntut sebarang harta sepencarian, mutaah, edah dan hutang perkahwinan.

Aliff juga bersetuju memberikan hak penjagaan penuh kepada Bella serta Aliff tidak membuat sebarang pertuduhan nusyuz terhadap Bella.

Aliff mendirikan rumah tangga dengan Bella pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

BELLA keluar dari  kamar mahkamah pada permohonan cerai. FOTO Saifullizan Tamadi
BELLA keluar dari kamar mahkamah pada permohonan cerai. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 2:34 PM