FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: "Kita perlu hentikan kegiatan ekonomi gelap dan keji ini," kata Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkaitan usaha menghapuskan lubuk pelacuran di ibu negara.

Katanya, bagi memastikan ia berjaya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam melaksanakan usaha bersepadu berkenaan.

"Sejak sekian lama, tiada pihak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pelacuran di negara ini.

"Bagaimanapun, bukan lagi rahsia kerana kegiatan tidak bermoral ini memang berlaku. Malah, ada lokasi dikategorikan sebagai lokasi pelacuran seperti sekitar Pudu dan jalan tertentu seperti Lorong Haji Taib.

"Peranan untuk mengambil tindakan perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Agama dengan kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Apa yang menyedihkan, katanya, ada pihak yang sanggup menerima imbuhan daripada sindiket pelacuran seterusnya menutup mata terhadap kegiatan terbabit.

"Jangan biarkan kegiatan pelacuran berleluasa. Pekerjanya pula bertukar ganti dengan yang berumur 'pencen' dan diganti pula dengan yang muda," katanya.

Menerusi pendedahan itu, ada dalam kalangan pelacur mencari pelanggan di medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong.

Hasil pendedahan eksklusif itu, Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu lokasi terbabit dan menahan 27 individu termasuk GRO dan pelacur.

Susulan itu, polis mendedahkan sudah mengenal-pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dipetik berkata, antara lokasi dikenal-pasti ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang serta Jalan Pudu.

Berkaitan isu sama, penganalisis keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam mengatakan, Malaysia juga mampu menutup lokasi pelacuran.

"Indonesia boleh menutup kawasan Dolly di Surabaya sudah lama berakar sebagai pusat pelacuran terbesar Asia Tenggara.

"Oleh kerana itu, tidak mustahil untuk Malaysia melakukannya," katanya.

Isu pelacuran di ibu negara didedahkan Harian Metro juga mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang dilaporkan berkata, dalam usaha menjamin keharmonian dan kesejahteraan warga kota, perbincangan lanjut untuk memperluaskan terma rujukan 'KL Strike Force' akan diadakan.

Zaliha dilaporkan berkata, satu strategi baru perlu dikaji dan diteliti di mana-mana kawasan yang dilaporkan dan dikenal pasti sebagai kawasan aktiviti pelacuran.

"Merubah wajah dan imej kawasan yang berkaitan boleh dilaksanakan melalui program pembaharuan semula bandar dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan, kebolehdiaman dan daya ekonomi," katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 6:50 AM