ANTARA wanita warga asing yang diberkas polis.
ANTARA wanita warga asing yang diberkas polis.

Kuala Lumpur: Mereka layak dipanggil makcik atau nenek, namun itu bukan halangan untuk kumpulan wanita dari Vietnam ini melakukan kegiatan pelacuran secara terbuka di kawasan medan selera berhampiran Ace Mall Jalan Pudu di sini.

Kumpulan pelacur ‘tua’ ini dikesan berpeleseran mencari pelanggan di kawasan itu dengan menawarkan perkhidmatan seks pada harga semurah RM30.

Kemunculan pelacur tua ini didapati semakin bertambah terutama pada waktu hujung minggu apabila mereka tanpa segan silu dilihat minum dan makan bersama pelanggan di medan selera berkenaan.

Walaupun tidak mempunyai wajah menawan namun kumpulan wanita ini akan menggunakan solekan tebal bagi menarik perhatian lelaki yang mengunjungi medan selera itu.

Kegiatan maksiat itu bagaimanapun dibongkar selepas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menyerbu lokasi itu jam 9 malam tadi.

Hasil serbuan itu, empat wanita Vietnam berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun ditahan bersama seorang lelaki Vietnam selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, operasi dijalankan bersama beberapa agensi lain antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:09 AM