STONES tiada masalah menyesuaikan diri dengan formasi baharu. -FOTO AFP
STONES tiada masalah menyesuaikan diri dengan formasi baharu. -FOTO AFP
Agensi

Berlin: John Stones berkata England tidak akan mengalami masalah untuk menukar percaturan meletakkan tiga pemain pertahanan dengan Gareth Southgate dijangka mencuba perubahan itu pada perlawanan suku akhir menentang Switzerland Ahad ini.

Pada Kejohanan Eropah terakhir tiga tahun lalu, Southgate menukar strategi dengan meletakkan tiga pemain di bahagian belakang dan mereka meraih kemenangan 2-0 ke atas Jerman di pusingan 16 terakhir.

Dia menggunakannya percaturan yang sama sekali lagi pada perlawanan akhir menentang Itali.

England setakat ini menggunakan formasi 4-2-3-1 di Jerman kali ini tetapi dengan prestasi buruk dan bek tengah Marc Guehi digantung, perubahan itu sudah dilaksanakan dalam latihan minggu ini.

Jika benar formasi itu akan diguna pakai, Stones akan menjadi pertahanan tengah yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur perubahan baharu itu dan dia percaya ia tidak akan menjadi risiko besar seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak.

"Kami pernah melakukannya dalam kejohanan sebelum ini. Jerman, saya masih ingat, pada Euro yang lalu. Sebelum ini pada 2018 (di Piala Dunia).

"Saya fikir ia adalah perkara hebat untuk digunakan, jika kami perlu bermain sistem itu. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh bagi kami sebagai satu pasukan, bahawa kami boleh melakukannya dengan mudah dan lancar dan berfungsi dengan baik bersama.

"Kami mempunyai satu lagi (sesi latihan) sebelum perlawanan dan diharapkan kami dapat memperhalusi beberapa perkara yang kami usahakan sejak beberapa hari lalu dan melihat ke mana ia membawa kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:51 AM