Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Seramai 28 pelacur warga asing dan lima lelaki tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah hotel tiga bintang di Raja Laut, Kuala Lumpur, semalam kerana terbabit dalam aktiviti maksiat dan pelacuran.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kesemua mereka ditahan menerusi Ops Gegar oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM hasil maklumat awam dan risikan.

Beliau berkata, operasi bermula jam 5 petang hingga 10 malam itu membabitkan 23 pegawai imigresen selain merampas sejumlah wang tunai disyaki wang pungutan hasil kegiatan pelacuran.

“Pelacur yang ditahan masing-masing enam warga Kazakhstan, China (lima), Vietnam (lima), Thailand (empat), Indonesia (empat), Mongolia (tiga), Rusia (dua) dan Turki (seorang).

“Turut ditahan adalah lima lelaki tempatan yang didapati menyelia aktiviti tidak bermoral itu selain menjadi orang tengah bagi mendapatkan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati, kesemua pelacur yang ditahan tiada dokumen pengenalan diri; tinggal lebih masa dan melanggar Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 8:29 PM