RUSDI ketika sidang media di IPD Brickfields, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
RUSDI ketika sidang media di IPD Brickfields, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Polis mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, antara lokasi yang dikesan ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

"Memang hasrat kita adalah untuk menghapuskan tempat pelacuran, saya tidak mahu melihat aktiviti pelacuran di tepi jalan, jika dulu semua orang berhenti di tepi jalan semata-mata mahu melihat mereka ini berpeleseran di tepi jalan.

"Polis akan mengambil tindakan secara berterusan bukan sahaja di lokasi berkenaan malah di lokasi lain yang di kenal pasti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, sebanyak 409 serbuan sudah dijalankan bagi membanteras aktiviti pelacuran di enam daerah di sekitar ibu kota bermula 1 Januari lalu sehingga 23 Jun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,691 individu sudah ditahan terdiri daripada pelbagai warganegara yang disyaki menjalankan aktiviti berkenaan.

"Sebanyak 86.06 peratus daripada serbuan yang dibuat berjaya dituduh di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Terdahulu menerusi laporan ekslusif Harian Metro mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran sekitar Pudu termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu Sabtu lalu.

Polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong serta menahan 27 orang termasuk GRO dan pelacur.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelum ini berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:58 PM