RATUSAN ribu penyokong Turkiye dijangka akan membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan menentang Belanda. -FOTO AFP
RATUSAN ribu penyokong Turkiye dijangka akan membanjiri stadium untuk menyaksikan pertembungan menentang Belanda. -FOTO AFP
Reuters

Wolfsburg: Pemain pertahanan Belanda, Daley Blind memberi amaran kepada rakan sepasukan untuk lebih berhati-hati apabila turun berdepan Turkiye yang dijangka mendapat sokongan padu apabila turun pada suku akhir Euro 2024, Ahad ini.

Dianggarkan tiga juta rakyat Turkiye tinggal di Jerman dan peminat mereka akan membanjiri kawasan stadium menyaksikan perlawanan yang mewujudkan suasana gamat.

Belanda yang pernah sekali muncul juara pada tahun 1988 akan menentang Turkiye di Berlin dan mengintai tempat ke separuh akhir berdepan England atau Switzerland.

"Saya fikir ia akan menjadi perlawanan di tempat lawan, ramai penyokong Turkiye akan berada di sana.

"Mereka bersemangat, ia akan menjadi perlawanan yang penuh emosi. Kami perlu berhati-hati dan kami perlu bersedia dan melakukan persiapan dengan baik," kata Blind yang juga pemain pertahanan tengah Girona.

Peminat Turkiye meraikan kejayaan pasukan mereka selepas kemenangan ke atas Georgia, Republik Czech dan yang terbaru, Austria dalam pusingan 16 terakhir, Rabu lalu.

Blind berkata, Belanda lebih bernasib baik berbanding pasukan lain apabila menentang Romania pada pusingan 16 terakhir dan kini berdepan Turkiye.

"Kami amat bertuah selepas peringkat kumpulan, tidak perlu menafikan perkara itu. Lihat lawan negara lain... namun dari sudut lain, negara yang lebih kecil menyukarkan negara yang lebih besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:16 AM