LAPORAN Harian Metro, 22 Jun lalu.
LAPORAN Harian Metro, 22 Jun lalu.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: "Indonesia boleh tutup kawasan Dolly di Surabaya yang sudah lama berakar sebagai pusat pelacuran, maka Malaysia boleh laksana tindakan sama di Pudu ini."

Begitu kata penganalisis keselamatan, Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berhubung aktiviti pelacuran di Pudu, di sini, yang didakwa sebagai lubuk persundalan tertua di ibu negara.

Dr Mohd Mizan berkata, tindakan tegas Indonesia menutup Dolly boleh dijadikan contoh kerana kawasan pelacuran itu sudah lama wujud di negara terbabit sejak 1960-an.

"Hari ini Dolly yang dulunya 'hanyir' dengan kegiatan persundalan sudah menjadi kawasan industri kecil sederhana (IKS) dan tempat pelancongan.

"Kerajaan Indonesia membantu golongan pekerja seks atau pelacur keluar daripada gelumang noda dan dosa mendapat kehidupan lebih baik berbanding kegiatan melacur.

"Malah, mereka diberikan pekerjaan halal, anak-anak mereka diberikan persekolahan dengan pemantauan oleh Wali Kota atau Datuk Bandar Surabaya.

"Daripada sebuah rumah kaca yang dihuni pelacur berpakaian seksi, kini sudah bertukar kawasan IKS serta tempat pelancongan yang bersih," katanya.

Beliau berkata, kejayaan transformasi di Dolly yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan pelacuran terbesar di Asia Tenggara adalah sesuatu yang baik.

Menurutnya, ia bertukar daripada kawasan terkenal dengan ekonomi gelap kepada penjanaan ekonomi lebih bersih hasil semangat tidak luntur semua peringkat termasuk Datuk Bandarnya.

Katanya, keinginan membuat perubahan positif itu dibantu pula dengan komitmen pegawai penguat kuasa, masyarakat setempat dan lain-lain pihak bagi melahirkan suasana kondusif serta lebih baik dan sihat.

"Di Malaysia juga, kita boleh membuat transformasi atau perubahan seperti itu termasuk kawasan di sekitar Pudu yang sudah berdekad-dekad menjadi lubuk kegiatan persundalan hingga mewujudkan sarang pelacuran antara yang tertua di negara ini.

"(Kegiatan aktiviti tidak bermoral) boleh diubah tetapi memerlukan komitmen, perancangan yang teliti dan sistem sokongan yang tepat barulah ianya boleh dihapuskan.

"Perlu ada tindakan bersepadu besar-besaran untuk menghapuskan kegiatan tidak bermoral itu termasuk kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kementerian berkaitan," katanya.

Muka depan Harian Metro pada Sabtu lalu melaporkan polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong sebelum menahan 27 orang termasuk GRO dan pelacur.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:01 AM