MOHD Kazim Elias ketika menjadi panel pada program Forum Mini Hijrah Membawa Hidup Mulia di Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Tapah, Manjoi, malam tadi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Kazim Elias ketika menjadi panel pada program Forum Mini Hijrah Membawa Hidup Mulia di Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Tapah, Manjoi, malam tadi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim mendedahkan bahawa pengarah, Allahyarham Mamat Khalid pencetus idea untuk beliau menceburi bidang lakonan hingga menjayakan watak utama menerusi filem Zim Zim Ala Kazim yang mula ditayangkan 13 Jun lalu.

Ustaz Kazim, 52, berkata, selain daripada mengangkat kisah benar dirinya yang menjadi mangsa perbuatan ilmu hitam atau sihir menerusi sebahagian besar paparan filem berkenaan, keinginan berlakon tercetus atas dasar menyebarkan dakwah dalam kalangan kru rakaman.

Beliau malah menyatakan penyebaran dakwah dengan cara itu terinspirasi daripada perbualan antara beliau dan Allahyarham Mamat ketika mengikuti penggambaran sebagai 'cameo' bagi telefilem '18 Puasa' arahan Mamat beberapa tahun lalu, berkaitan kewajipan mendirikan solat.

"Saya tengok benda ini iaitu apabila saya berlakon dalam telefilem '18 Puasa', ketika itu azan berkumandang dan ada dalam kalangan kru penggambaran di situ menggesa semua kru lain bersiap untuk mendirikan solat berjemaah.

"Pertama kali saya berlakon, orang berhentikan penggambaran sebab hendak solat dengan kesemua kru masuk khemah surau untuk solat berjemaah. (Maka) saya pun dapat idea iaitu apabila saya makan laksa bersama Allahyarham Mamat, saya puji bagus dia buat begitu apabila semua sembahyang.

"Allahyarham Mamat katakan, "abang takut nanti kalau abang mati, Allah tanya abang. Abang nak jawab apa? Abang takut, (maka) sebab itu abang ajak budak-budak sembahyang"," katanya ketika menjadi panel pada program Forum Mini Hijrah Membawa Hidup Mulia di Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Tapah, Manjoi, di sini, malam tadi.

Turut menjadi panel forum itu adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Kata Ustaz Kazim lagi, bermula daripada itu datangnya idea untuk beliau menceburi bidang lakonan dalam berdakwah dengan memakai prinsip bahawa jika berkehendakkan hijrah atau perubahan lebih baik kepada sesuatu, maka syarat tertentu boleh diletakkan.

"Daripada situ, saya hendak ubah, kita hijrah seperti kita buat syarat bahawa kalau hendak tengok kita berlakon, maka kena solat, tidak boleh pakai seksi, ada adegan berpelukan, naik motosikal bersama (lelaki dan perempuan), dan tidak boleh (adegan) tidur sekatil," katanya.

Ustaz Kazim turut mendedahkan susulan kejayaan filem Zim Zim Ala Kazim yang dibintanginya itu, sekurang-kurangnya tiga individu termasuk dua daripadanya adalah pelawak dan penerbit datang menawarkan kepadanya untuk berkolaborasi bersama bagi menghasilkan lagi filem.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:57 AM