Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Terjun dari tingkat satu sebuah hotel untuk meloloskan diri daripada ditahan polis.

Itu tindakan terdesak pelacur warga Thailand selepas lokasi aktiviti maksiatnya diserbu jam 9.30 malam tadi.

Serbuan serentak di dua hotel bajet di Setapak dan Pudu berjaya menahan 14 wanita warga Thailand yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) serta JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, setiap wanita berusia 26 hingga 45 tahun yang ditahan menyewa bilik di hotel bajet itu untuk aktiviti pelacuran.

"Seorang wanita cedera pergelangan kaki kanan kerana terjun dari tingkat satu hotel selepas mengetahui serbuan dijalankan polis.

"Dalam operasi itu juga seorang pegawai polis cedera ketika mahu menahan wanita yang cuba melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas kondom, wang tunai dan dekoder di premis berkenaan.

Katanya, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan (KK), Akta Imigresen dan Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Bagi kes pegawai yang cedera, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 10:25 AM
WANITA Thailand yang cedera selepas terjun dari tingkat satu sebuah hotel di Setapak. FOTO ihsan polis
WANITA Thailand yang cedera selepas terjun dari tingkat satu sebuah hotel di Setapak. FOTO ihsan polis