Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang membuang kucing menjadi punca peningkatan haiwan peliharaan itu di jalanan.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid berkata, tekanan hidup dan ekonomi susulan penularan Covid-19 juga dikenal pasti punca berlakunya kes penderaan kucing.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menyaksikan peningkatan kes pembuangan kucing. Kami terpaksa mengutip haiwan berkenaan untuk dilindungi.

"Peningkatan jumlah kucing jalanan itu turut meningkatkan kes haiwan disakiti dan dicederakan kerana kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga dan menyayangi kucing juga masih rendah.

"Kita pun tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya semua orang perlu ada rasa kasih sayang terhadap haiwan," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Khalid bersama sukarelawan dan Jabatan Veterinar Malaysia menganjurkan Kempen Kesedaran dan Pemilikan Kucing di Myza Cat Home di Bandar Mahkota Cheras di sini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu turut memberikan suntikan vaksin kepada kucing jalanan yang diselamatkan dan ditempatkan di Myza Cat Home diasaskan oleh Ahzila Muhamad Ibrahim.

Menurut Khalid, pihaknya kini giat menganjurkan program untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menyayangi dan bertanggungjawab terhadap haiwan jalanan.

Katanya, masyarakat perlu sedar bahawa tanggungjawab menjaga haiwan jalanan bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pusat penjagaan haiwan sahaja sebaliknya semua pihak memainkan peranan.

"Tolonglah sayangi haiwan dan jangan dera mereka. Jadilah pembela haiwan yang beretika dan penyayang dengan tidak membiarkan haiwan tanpa jagaan," katanya yang mengharapkan Malaysia menjadi negara sifar haiwan jalanan suatu hari nanti.

Sementara itu, Ahzila, 47, sudah menyelamatkan ratusan kucing jalanan sebelum haiwan berkenaan diberikan rawatan dan diserahkan kepada penjaga baharu.

Menceritakan bagaimana dia memulakan rumah penjagaan kucing, Ahzila berkata, ia bermula pada 2013 selepas anaknya membawa pulang kucing jalanan.

"Ketika itu saya sudah berhenti kerja kerana terbabit kemalangan. Saya bawa kucing ke klinik haiwan dan menjaganya di rumah. Sejak itu timbul rasa sayang terhadap kucing dan mula menyelamatkan beberapa kucing jalanan lain.

"Semua kucing diselamatkan diberi rawatan dan pemandulan serta penjagaan rapi. Saya lebih mengutamakan selamat ibu dan anak kucing. Ada juga orang awam yang datang serahkan kucing jalanan kepada saya kerana tidak tahu menjaganya.

"Semakin lama kucing saya bela bertambah banyak menyebabkan saya buntu. Dari situ saya mencari maklumat dan mengetahui mengenai KKM. Saya bersyukur KKM banyak membantu dan meringankan beban," katanya.

Katanya, dia turut mempromosikan kucing yang diselamatkan di pusat beli-belah Aeon Setiawangsa di sini, pada setiap Sabtu dan Ahad untuk diambil keluarga angkat baharu mengikut peraturan ditetapkan.

Ahzila berkata, individu yang berminat membantu dan menjaga kucing jalanan boleh datang ke pusat beli belah berkenaan atau menghubunginya di talian 018-3649590.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 4:23 PM
Ahzila Muhamad Ibrahim (kanan) memegang kucing yang dipelihara untuk disuntik vaksin ketika Kempen Kesedaran dan Pemilikan Kucing anjuran Kelab Kucing Malaysia bersama Jabatan Veterinar di Cheras. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ahzila Muhamad Ibrahim (kanan) memegang kucing yang dipelihara untuk disuntik vaksin ketika Kempen Kesedaran dan Pemilikan Kucing anjuran Kelab Kucing Malaysia bersama Jabatan Veterinar di Cheras. FOTO MOHD FADLI HAMZAH