BERSYUKUR masih ditawarkan undangan menyanyi selain lakonan.
BERSYUKUR masih ditawarkan undangan menyanyi selain lakonan.
Ridzuan Abdul Rahman


Agak lama Isyariana Che Azmi menyepikan diri dari bidang lakonan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, rezeki menyebelahi pelakon cantik berusia 33 tahun ini apabila kembali dihujani tawaran berlakon drama tahun lalu serta banyak tawaran berlakon filem pada awal tahun ini.

Malah, Isyariana atau Isya yang bermula sebagai peserta program pertandingan realiti popular Akademi Fantasia 2016 menggunakan nama pentas Riana bersyukur apabila masih diundang menyanyi dalam majlis tertutup.

"Syukur, saya banyak ditawarkan menyanyi untuk majlis makan malam dan ia satu pengiktirafan terhadap bakat nyanyian saya. Untuk drama pula, penampilan terbaru saya adalah menerusi drama Hero Seorang Cinderella 2 pada Ramadan lalu.

"Paling mengujakan apabila filem kelima daripada lapan filem saya iaitu Saka Perawan mula ditayangkan di pawagam pada 27 Jun (Khamis) lalu. Saya bawakan watak Puteri Emilia, salah seorang peneraju utama filem terbabit.

 ISYA percaya pada rezeki kurniaan Allah menentukan nasibnya dalam industri lakonan.
ISYA percaya pada rezeki kurniaan Allah menentukan nasibnya dalam industri lakonan.

"Menariknya filem arahan Dr Ahmad Idham ini adalah sebuah filem genre komedi seram yang menampilkan gandingan baru bersama pelakon legenda," katanya.

Isya berkata, semua peminat merindui lakonan pelakon legenda seperti Datuk Fauziah Nawi, Wilma Muhammad, Azlee dan Yassin Senario.

"Ceritanya kelakar dan ada kaitan dengan zaman moden kita ini kerana masih ada yang menggunakan ilmu hitam sebagai pemuas nafsu. Saka Perawan sebenarnya sarat dengan pengajaran.

"Tak dinafikan walaupun berani terima tawaran berlakon filem seram, saya sebenarnya seorang yang penakut. Tapi dalam kalangan kawan-kawan, saya paling berani.

"Saya rasa ini tawaran yang terbaik pada 2023. Pakejnya lengkap merangkumi pengarahnya, Ahmad Idham, pelakon-pelakon hebat dan jalan ceritanya sangat menarik," katanya.

TAMPIL dengan filem genre komedi seram Saka Perawan sejak Khamis lalu.
TAMPIL dengan filem genre komedi seram Saka Perawan sejak Khamis lalu.

Sebagai pelakon, Isya mahu menjadi 'versatile' dengan mempelbagaikan watak lakonannya. Dia teringin membawakan watak 'serious fighter', 'street fighter' dan pembunuh bersiri.

"Moga-moga saya dapat merasa watak ini nanti. Saya memang menantikan tawaran sebegini. Setakat ini semua projek dah selesai. Sekarang saya sedang tunggu projek yang baru saja, insya-Allah," katanya.

Meneliti Instagramn, Isya hanya mempunyai 394,000 pengikut yang mana agak rendah berbanding pelakon-pelakon lain.

Isya berkata, dia menyerahkan soal popularitinya kepada peminat kerana mereka yang berhak menentukannya.

"Kalau bagi saya, alhamdulillah makin ramai yang mula kenal saya. Biarpun pakai pelitup muka semasa keluar, orang boleh kenal juga dan tak dinafikan saya dah tak sebebas dulu.

"Sejujurnya saya bimbang juga melihat fenomena sekarang makin ramai dan mudah untuk jadi artis. Jadinya, kualiti dan usaha kita selama ini mungkin tidak akan diambil kira lagi. Tapi apa-apa pun rezeki masing masing dan saya percaya pada rezeki dari Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 7:01 AM