KETIKA masih menuntut Norhidayah fokus untuk mengembangkan kerjaya.
KETIKA masih menuntut Norhidayah fokus untuk mengembangkan kerjaya.
Hafiz Ithnin


"KETIKA saya melanjutkan pengajian di dalam bidang ini, ada yang katakan saya tiada masa depan di dalam kerjaya," luah kontraktor elektrik wanita berusia 32 tahun itu kepada penulis.

Ternyata kata-kata itu sebenarnya tidak menjadi kudis buat ibu kepada seorang cahaya mata ini, malah dia terus berusaha gigih bergelar usahawan berstatus jutawan.

Norhidayah Samad tidak menafikan bidang elektrik yang sinonim dengan tugas lelaki dan dilihat satu kerjaya yang mencabar serta lasak kadang-kala menimbulkan stigma dalam masyarakat apabila wanita menceburinya.

Namun, kewujudan wanita di dalam bidang itu sebenarnya membuktikan kerjaya berkenaan tidak boleh disempadankan dengan kasta jantina tetapi ia perlu dinilai dari segi kemampuan dan kualiti ketika bekerja.

Katanya, sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia sememangnya bercadang untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang kemahiran automotif. Namun, peluang itu tidak memihak kepadanya tetapi dipilih dalam bidang elektrik.

"Apabila saya melanjutkan pengajian kemahiran di dalam bidang pendawaian elektrik sebenarnya sesuatu yang menarik untuk dilakukan dan saya mula serius bagi mendalami ilmu ini.

"Sehinggalah saya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang diploma tekno usahawan di Institut Kemahiran Mara dan mempunyai sijil penjaga jentera elektrik A1 di Giatmara. Pada masa sama saya praktikkan kemahiran ini melalui kerja sampingan dengan orang lain untuk mengasah kemahiran," katanya.

Akhirnya pada 2011 dia mula memberanikan diri membuka syarikat. Kini, anak sulung daripada sembilan beradik itu bergelar kontraktor kelas C di dalam bidang pendawaian elektrik.

BERMULA dari bawah menjadikan Norhidayah sebagai kontraktor elektrik berjaya.
BERMULA dari bawah menjadikan Norhidayah sebagai kontraktor elektrik berjaya.

Mengimbau pengalaman di awal pembabitan akuinya, kerjaya sebagai kontraktor pendawaian elektrik mempunyai cabaran tersendiri terutama perlu mempunyai jiwa lasak dan berani.

"Terkena elektrik, berada di tempat tinggi atau berpanas itu sudah menjadi perkara biasa ketika bekerja tetapi ia bukan sesuatu yang mematahkan semangat untuk terus berada di dalam bidang ini.

"Kadang-kala saya perlu berada lama dalam siling rumah yang memang diketahui umum agak panas di dalamnya tetapi ia adalah tugas yang perlu dilaksanakan supaya masalah pendawaian elektrik boleh diselesaikan," katanya.

Katanya, sebagai wanita yang berada di dalam bidang itu cabaran sebenarnya bukan sahaja apabila sudah bergelar usahawan tetapi ketika masih melanjutkan pengajian lagi.

"Saya masih ingat ketika ingin membuat latihan industri, bukan senang majikan ingin menerima pelajar praktikal wanita untuk melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik.

"Tetapi saya buktikan bahawa meskipun saya seorang wanita tapi saya boleh memberikan kualiti kerja yang sama dengan lelaki," katanya.

ANTARA cabaran ketika berkerja yang perlu dihadapi Norhidayah.
ANTARA cabaran ketika berkerja yang perlu dihadapi Norhidayah.

Katanya, apabila bergelar usahawan pula, dia juga berdepan dengan stigma kontraktor elektrik wanita mungkin tidak boleh memberikan hasil yang baik di dalam tugasan menyelesaikan masalah pendawaian elektrik.

"Sekali pelanggan memberikan kepercayaan kepada saya, syukur mereka menjadi pelanggan tetap untuk saya memberikan perkhidmatan kerja-kerja pendawaian elektrik seperti pemasangan pendingin hawa, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya," katanya.

Katanya, kehadiran wanita yang mempunyai kerjaya sebagai kontraktor elektrik sebenarnya banyak memberi keselesaan kepada pelanggan wanita apabila datang untuk memberikan perkhidmatan di rumah.

"Kadang-kala pelanggan wanita tinggal seorang di rumah dan suami mereka bekerja dan apabila dia mengetahui saya yang akan melakukan tugasan masalah pendawaian elektrik, mereka lebih selesa kerana saya adalah wanita yang datang ke rumah mereka," katanya.

Selain memberikan perkhidmatan di dalam kerja-kerja pendawaian elektrik, Norhidayah juga menjadi pembekal barangan elektrik untuk pembinaan yang digunakan kontraktor elektrik.

Katanya, sebagai seorang yang pernah melalui cabaran di dalam kerjaya kontraktor elektrik dan ketika belajar, dia ingin membantu lebih ramai golongan wanita terutama pelajar wanita yang ingin menjalankan latihan industri di syarikatnya.

"Bagi saya ini adalah tanggungjawab untuk membantu lebih ramai wanita terbabit di dalam bidang elektrik kerana saya sudah melalui fasa kesukaran itu dan melihat golongan wanita sebenarnya mampu melakukan kerja berkualiti di dalam bidang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 7:02 AM