TARIK perhatian pencinta kucing. FOTO Aswadi Alias.
TARIK perhatian pencinta kucing. FOTO Aswadi Alias.
Aniza Zainudin

Ke mana hilangnya sifat belas kasihan dan kasih sayang manusia terhadap makhluk bernyawa lain?

Persoalan ini timbul apabila menyaksikan kerakusan manusia yang diangkat sebagai khalifah dan diamanahkan supaya memacu dunia ke arah kebaikan semakin ‘seronok’ melakukan kerosakan bahkan penganiayaan terhadap binatang.

Penghujung tahun lalu, Malaysia digemparkan dengan rakaman kamera litar tertutup mempamerkan kezaliman dilakukan dua lelaki membunuh seekor kucing bunting dengan meletakkannya ke dalam mesin pengering pakaian di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, pada 11 September 2018, jam 12.54 malam.

Bangkai haiwan malang yang mati berdarah akibat melecur itu kemudian ditemui pelanggan lain pada jam 10.30 pagi apabila ingin menggunakan mesin pengering berkenaan.

Rentetan daripada itu, ‘pemangsa’ ini didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 17 Januari lalu di Mahkamah Sesyen Selayang, Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap A Mohanraj, 42, atas kesalahan berkenaan.

Keterbalikan daripada situasi itu, masih ada sekelompok insan berjiwa besar yang memperjuangkan nasib haiwan terutama dikategorikan jalanan.

Penganjuran Program Kucing Angkat anjuran Persatuan Haiwan Malaysia, minggu lalu, dilihat antara usaha bagi membela kucing jalanan dengan menempatkannya bersama keluarga baharu.

Wakilnya, Juanita Izzudin Mohd Farouk berkata, projek perintis ini dilaksanakan bersama rakan penyelamat bebas dan syarikat makanan kucing, Misha, dalam konsep santai bagi mencari rumah baharu buat kucing di bawah jagaan masing-masing.

KONGSI ilmu penjagaan bersama pengunjung. FOTO Aswadi Alias.
KONGSI ilmu penjagaan bersama pengunjung. FOTO Aswadi Alias.

“Kami mengambil pendekatan lebih terbuka seakan-akan karnival dengan menganjurkan program ini di luar bangunan diiringi pelbagai aktiviti termasuk penjagaan asas kucing, penempatan kucing angkat dan sebagainya.

“Sebelum ini, bagi penempatan kucing angkat ini selalunya dilakukan secara persendirian oleh penyelamat bebas, namun menerusi program ini sebanyak 100 ekor kucing pelbagai baka ditawarkan untuk dijaga.

“Kami ingin memperkenalkan konsep satu keluarga, satu haiwan peliharaan yang bertujuan memupuk kasih sayang terhadap haiwan dalam kalangan masyarakat, terutama kanak-kanak.

“Kesanggupan keluarga angkat ini juga dapat menyebarkan mesej kesedaran, mengajar erti tanggungjawab, membentuk perasaan kasih pada makhluk lain, bersikap positif dan sabar.

“Ada segelintir masyarakat berminat untuk memelihara kucing, namun ilmu dan pengalaman dimiliki kekurangan. Jadi, pada hari ini (Sabtu minggu lalu), kami mengadakan bengkel mengenai penjagaan asas kucing kepada keluarga baharu dan pengunjung,” katanya ketika ditemui di Segambut, minggu lalu.

Menurut wanita juga penyelamat bebas yang memiliki 49 ekor kucing ini, sesi temu duga dan saringan turut dilaksanakan bagi proses kucing angkat.

Sesi ini dijalankan bagi memastikan penjaga baharu benar-benar mampu memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan, kesihatan, penjagaan serta perhatian kepada kucing yang bakal dipelihara.

ANTARA kucing jalanan berjaya diselamatkan. FOTO Aswadi Alias.
ANTARA kucing jalanan berjaya diselamatkan. FOTO Aswadi Alias.

Kata Juanita Izzudin lagi, ada kes individu mengambil kesempatan terhadap kucing jalanan yang dipelihara sehingga sihat dan cantik ini untuk dijadikan induk baka.

Katanya, program ini juga membuka ruang kepada penyelamat bebas menjana pendapatan bagi menampung kos penjagaan haiwan yang diselamatkan.

“Ramai beranggapan kami (penyelamat bebas) sentiasa meraih simpati mengumpul dana menerusi hebahan media sosial bagi menyelamatkan kucing jalanan sama ada rawatan kesihatan dan pemberian vaksin.

“Namun, sebenarnya kami melakukan pelbagai kerja berbeza bagi menjana pendapatan diri dan rezeki itu dikongsikan bersama kucing yang kami selamatkan,” ceritanya sambil mengakui sebanyak 20 kucing berjaya bertemu penjaga baharu.

KELUARGA angkat si comel. FOTO Aswadi Alias.
KELUARGA angkat si comel. FOTO Aswadi Alias.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Misha, Lee Lay Yim mengakui kerjasama dengan Persatuan Haiwan Malaysia bersesuaian dengan objektif syarikat menyokong program penempatan semula kucing dan pemberian makanan bernutrisi.

Dalam acara berbeza, Persatuan Mahasiswa Fakulti Perubatan Veterinar (VETERNAK) dan Zoologico Club, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program larian amal tahunan bersama anjing peliharaan, Dogathon 2019.

Pengarah bersamanya, Nicole Tan Han Xin berkata, program yang berlangsung pada Ahad lalu berjaya mengumpulkan 1,216 ekor anjing bersama kira-kira 2,000 pemiliknya.

LARIAN sejauh 1.5 kilometer. FOTO Aswadi Alias.
LARIAN sejauh 1.5 kilometer. FOTO Aswadi Alias.

“Tahun ini, Dogathon tampil dengan beberapa objektif utama termasuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kebajikan haiwan dan mendidik masyarakat perihal haiwan jalanan.

“Dogathon juga platform untuk menyokong usaha ‘Catch-Neuter-Rehome’ (CNR) oleh Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (Prokasih) bagi mengawal populasi binatang jalanan di kampus UPM.

“Selain mengukuhkan hubungan di antara binatang peliharaan dan pemilik, kami juga ingin mengumpulkan pencinta haiwan ini berkongsi pengetahuan dan pengalaman antara satu sama lain.

“Sempena larian ini, kami berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM5,000 dan ia akan diserahkan kepada Prokasih bagi usaha CNR,” katanya.

BINA hubungan erat antara anjing dan pemilik. FOTO Aswadi Alias.
BINA hubungan erat antara anjing dan pemilik. FOTO Aswadi Alias.

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo berkata, penganjuran program kali ke-22 ini diharap mampu menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai isu haiwan jalanan.

Jelasnya, haiwan jalanan tidak bertuan ini tidak terbela kebajikannya malah ia memberi risiko kesihatan terhadap masyarakat sekiranya populasinya tidak terkawal.

Justeru, idea untuk mendidik masyarakat mengenai pengkasian haiwan peliharaan masing-masing adalah penting.

Ini kerana pembiakan tidak terkawal membuatkan pemilik mengambil tindakan membuang sekali gus menjadikan baka anjing atau kucing dipelihara kepada binatang jalanan, apabila tidak mampu menjaganya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 7:01 AM