JURIEENA memberi makanan kepada kucing jalanan yang kebanyakannya dibuang  individu tidak bertanggungjawab.
JURIEENA memberi makanan kepada kucing jalanan yang kebanyakannya dibuang individu tidak bertanggungjawab.
Hafiz Ithnin

"Pihak berkuasa perlu memberi kesedaran mengenai Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang termaktub bagi mereka yang membuang haiwan tidak kira jenis haiwan yang dipelihara boleh dikenakan tindakan penjara maksimum tiga tahun penjara dan denda maksimum RM100,000.

"Perkara ini penting kerana ramai pemilik haiwan tidak mengetahui mengenai akta ini yang sebenarnya mampu mengelakkan berlakunya isu pembuangan haiwan yang memberi kesan kepada kebajikan haiwan itu sendiri dan persekitaran masyarakat," kata Presiden Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang, Jurieena Abdul Rani.

Malah tegasnya lagi, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang 'mengambil tugas' untuk menjaga kebajikan haiwan terbuang terutamanya kucing berdepan pula dengan Seksyen 47 (1) (g), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana memberi makanan kepada kucing jalanan yang kebanyakannya dibuang individu tidak bertanggungjawab.

"Sebagai NGO, kita sendiri berada di dalam keadaan tersepit kerana pertama kesedaran secara besar-besaran mengenai akta yang melarang orang membuang haiwan peliharaan dilihat tidak begitu meluas.

"Kemudian sebagai kumpulan manusia yang mempunyai sifat insani kepada haiwan ini, kami boleh dikenakan tindakan kerana memberi makanan kepada haiwan terbuang terutamanya kucing. Jika haiwan ini dibiarkan kelaparan boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengganggu pelanggan di kedai makan," katanya.

JURIEENA bersama kucing jalanan yang diselamatkannya dan rakan-rakan.
JURIEENA bersama kucing jalanan yang diselamatkannya dan rakan-rakan.

Jelasnya, kesedaran akta yang memperuntukkan tindakan undang-undang kepada mereka yang membuang haiwan peliharaan amat penting kerana kewujudan kucing terbuang yang akhirnya menjadi kucing jalanan akan memberi kesan kepada persekitaran.

"Perkara ini jelas dapat dilihat apabila di kedai-kedai makan misalnya orang membuang kucing mereka di lokasi seperti ini akan mengganggu persekitaran tempat makan.

"Najis kucing itu sendiri akan menyebabkan pencemaran di tempat awam. Selain itu, pembiakan kucing akan berlaku sehingga tidak terkawal," katanya.

Katanya, perkara itu juga memberi kesan kepada kebajikan haiwan itu sendiri. Misalnya kucing jalanan mudah mendapat penyakit.

KETIKA menyelamatkan kucing jalanan di dalam longkang.
KETIKA menyelamatkan kucing jalanan di dalam longkang.

"Sebagai manusia cuba kita letakkan diri kita di dalam jiwa haiwan itu sendiri. Bagaimana jika kita sakit tetapi hanya dibiarkan melarat dan mati?

"Itu belum lagi membabitkan penganiayaan ke atas kucing jalanan yang didera tanpa ada rasa belas kasihan. Haiwan juga perlu diberi perlindungan. Bukan manusia sahaja," katanya.

Jurieena berkata, persatuannya yang ditubuhkan sejak 2019 mempunyai kira-kira 50 ahli aktif membantu memberi makanan kepada kucing jalanan, memberi rawatan sekiranya kucing terbiar sakit dan turut melakukan kerja-kerja amal seperti menyelamatkan kucing ketika berlakunya banjir.

Jelasnya, sebagai NGO mereka amat memerlukan dana untuk melakukan kerja-kerja kebajikan itu dan kebanyakannya adalah sumbangan peribadi daripada ahli sendiri.

MEMBERI rawatan kepada kucing jalanan yang sakit.
MEMBERI rawatan kepada kucing jalanan yang sakit.

"Di Pahang kami mempunyai ahli yang menjaga kawasan masing-masing bagi memberi makanan kepada kepada kucing jalanan di tempat mereka.

"Ahli akan mengambil makanan kucing daripada persatuan hasil daripada pungutan dana yang disumbangkan kami sendiri. Setiap bulan kami memerlukan sekitar RM2,000 untuk membeli makanan sahaja. Kadang-kala ada sumbangan daripada ahli politik yang sudi menyokong aktiviti kami di sini," katanya.

Tambahnya, apabila ahli persatuan menjumpai kucing jalanan yang sakit, mereka akan membawa haiwan berkenaan untuk mendapatkan rawatan.

"Untuk memberikan rawatan kepada kucing-kucing yang sakit ini turut membabitkan kos yang tinggi. Setakat ini kami sudah memberi rawatan sekitar lebih 500 ekor kucing jalanan.

"Terdapat juga ahli yang berbesar hati mengambil kucing-kucing yang terbiar ini dijadikan haiwan peliharaan sehingga 80 ekor kerana kasihan melihat kebajikan haiwan terbiar ini hidup tanpa dijaga kebajikannya," katanya.

KEADAAN kucing jalanan yang sakit.
KEADAAN kucing jalanan yang sakit.

Jelasnya lagi, tidak sekadar itu, untuk mengelakkan berlakunya pembiakan kucing jalanan tanpa kawalan, persatuannya bersama pihak berkuasa tempatan bekerjasama melakukan pemandulan kepada 50 kucing terbiar di sekitar Kuantan pada 2021.

"Sebagai NGO kami amat berharap semua termasuk pihak berkuasa mampu membantu menyelesaikan isu kucing jalanan ini terutama membabitkan haiwan yang dibuang pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Ia a bukan sahaja mencerminkan kita sebagai masyarakat yang mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi tetapi melindungi persekitaran daripada pencemaran kerana isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 10:01 AM