SUAMI isteri giat sertai program perlindungan serta tawar khidmat penjagaan dan perapian
SUAMI isteri giat sertai program perlindungan serta tawar khidmat penjagaan dan perapian
Zaitie Satibi

SEBUT pasal tikus, pasti ramai dalam kalangan kita berasa geli dengan haiwan perosak yang lazimnya dilihat mengerumuni kawasan sampah-sarap, selain menyebarkan penyakit berjangkit. Gangguan tikus di sekitar kediaman pasangan suami isteri ini yang baru berpindah ke perumahan di Seri Kembangan pada 2008, meresahkan mereka apabila haiwan perosak itu sungguh agresif dan mereka bimbang keadaan itu boleh menjadi ancaman kesihatan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Mohd Ezarian Abdul Rahman, 42, dan isteri, Nurul Shima Mohd Abas, 42, sepakat membela kucing untuk menghalau tikus terbabit daripada menjajah kawasan rumah mereka dan usaha berkenaan ternyata membuahkan hasil.

Langkah itu tidak saja menyelesaikan masalah haiwan perosak itu yang bermaharajalela di sekitar kawasan rumah, malah menjadi titik tolak kepada Mohd Ezarian dan Nurul Shima bergiat menyelamat dan mengendali haiwan.

“Kami baru saja mendirikan rumah tangga ketika itu dan berpindah ke Seri Kembangan untuk memulakan kehidupan baharu sebagai suami isteri. Malangnya, keharmonian kami diganggu dengan kedatangan haiwan perosak seperti tikus dan cencurut, malah turut diganggu ular berbisa dari kawasan belukar berhampiran.

SESI pendidikan penjagaan haiwan kepada pelajar di pejabat Animal Malaysia. FOTO: Aswadi Alias
SESI pendidikan penjagaan haiwan kepada pelajar di pejabat Animal Malaysia. FOTO: Aswadi Alias

“Sehubungan itu, kami cuba memelihara kucing dengan mengambil seekor ibu kucing dan tiga anaknya untuk menjaga rumah. Pada masa sama, kami menjaga kebajikan haiwan ini yang dikutip dari jalanan dan sejak itu, kami menjadi pencinta haiwan,” katanya.

Katanya, dia dan isteri puas setiap kali menyelamatkan haiwan terutama kucing jalanan kerana dapat membantu haiwan terbiar itu menjalani kehidupan lebih baik.

“Kami juga terbabit menyertai aktiviti menyelamatkan kucing malang bersama aktivis haiwan atau pusat perlindungan haiwan terbiar dalam program tertentu. Kucing yang diselamatkan akan dirawat dan dijaga sehingga pulih sebelum diserahkan kepada pemilik baharu yang berminat untuk membelanya menerusi program kucing angkat.

“Selain itu, kami juga bekerjasama dengan beberapa pertubuhan berkaitan kebajikan haiwan terbiar untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan haiwan yang betul bagi mengelak penganiayaan.

MENENANGKAN kucing baka Caracal yang dihantar ke klinik veterinar.
MENENANGKAN kucing baka Caracal yang dihantar ke klinik veterinar.

“Kempen kesedaran penjagaan haiwan mempertingkatkan pendidikan dan kefahaman mengenai penjagaan haiwan khususnya binatang peliharaan. Orang ramai akan dididik mengenai cara penjagaan haiwan peliharaan yang terbaik selain memastikan mereka menyediakan persekitaran yang sesuai, makanan berkhasiat dan pemeriksaan kesihatan secara berjadual,” katanya.

Pasangan berkenaan kini memelihara kira-kira 40 haiwan yang kebanyakannya terabai. Selain kucing, mereka juga memelihara musang pandan, arnab, tikus buluh, kura-kura, landak mini dan tupai terbang.

Mereka juga tidak duduk diam sebaliknya menjalankan perkhidmatan pengendalian haiwan Shieza Pet Services seperti khidmat mengasuh harian, pengangkutan, hotel kucing, merapi bulu dan perundingan penjagaan haiwan bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Perkhidmatan ini bermula secara tidak sengaja pada Aidilfitri lima tahun lalu apabila seorang rakan yang mahu pulang beraya di kampung, meminta kami menjaga 10 kucing peliharaannya. Ketika itu kami tidak pulang ke kampung dan bersetuju menjaga haiwan itu.

“Sejak itu kami menawarkan perkhidmatan lain membabitkan pengendalian haiwan peliharaan. Kami juga belajar cara mengendalikan haiwan menerusi pengalaman sendiri, pembiak baka haiwan dan pakar veterinar.

“Perkhidmatan pengangkutan haiwan umpama teksi yang menghantar haiwan ke mana-mana lokasi yang diminta pemiliknya dan kebanyakannya membabitkan luar Lembah Klang. Kami terima banyak permintaan membabitkan haiwan eksotik kerana pengendaliannya perlu lebih teliti berbanding baka biasa.

“Khidmat mengasuh haiwan pula disediakan berikutan ada pemilik yang tidak mahu menghantar haiwan peliharaan mereka ke hotel kucing, sebaliknya kami yang datang ke rumah mereka untuk memberi makan, merawat dan membersihkan haiwan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 4:31 AM