Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Keprihatinan yang begitu menebal mendorong dua beradik terbabit sebagai sukarelawan bagi membela nasib kucing jalanan yang kini semakin bertambah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Selain menyediakan makanan secara berjadual, si bulus yang mengalami masalah kesihatan dan kecederaan diberi rawatan serta ditempatkan di pusat perlindungan.

Menurut Nur Uzzma Qistieena Mohd Farid, 25, dia dan adiknya, Nur Uzzma Qamarieena, 21, mula terbabit secara serius dengan aktiviti membela nasib kucing jalanan di daerah ini sejak tiga tahun lalu.

Pada peringkat awal pembabitan mereka hanya membantu ibu, Jurina Abdul Rani, 49, yang juga pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) menjalankan aktiviti memantau dan memberi makan kepada kucing jalanan di beberapa tempat di daerah ini.

NUR Uzzma Qistieena (kiri) dan adiknya, Nur Uzzma Qamarieena kini menjaga lebih 30 ekor kucing jalanan.
NUR Uzzma Qistieena (kiri) dan adiknya, Nur Uzzma Qamarieena kini menjaga lebih 30 ekor kucing jalanan.

Katanya, bermula dari situ terbit perasaan ingin membela nasib haiwan jalanan terutama apabila kini semakin bertambah dua hingga tiga kali ganda selepas pelaksanaan PKP sejak tahun lalu.

"Cabaran utama saya di peringkat awal ialah melawan alahan terhadap kucing, sebelum ini saya bukan sahaja tidak boleh memegang kucing, tetapi melihat saja haiwan itu menyebabkan muka menjadi bengkak, selesema, gatal badan dan mata.

"Namun, kerana kasihan melihat kucing jalanan saya kuatkan semangat untuk melawan alahan itu, alhamdulillah selepas lebih setahun berhadapan pelbagai cabaran akhirnya saya kini tidak lagi berhadapan masalah alahan yang serius," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Nur Uzzma Qistieena berkata, pengalaman menyelamatkan kucing yang dilanggar kenderaan dua tahun lalu antara kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan, haiwan berkenaan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala hingga menyebabkan satu matanya hampir keluar.

"Saya dan adik merawatnya selama beberapa bulan hingga keadaannya kini pulih sepenuhnya walaupun kesan kecederaannya masih ada hingga kini.

"Saya kini memiliki kira-kira 30 ekor kucing jalanan yang ditempatkan di premis haiwan kesayangan Rabeena Pink Pets Planet di Indera Mahkota Tiga yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan barangan serta perkhidmatan lain untuk kucing," katanya.

Bagi Nur Uzzma Qamarieena, hampir setiap minggu dia dan kakak menghantar makanan kepada kucing jalanan di beberapa kawasan di daerah ini seperti di Teluk Cempedak, pusat perniagaan Jaya Gading, Taman Gelora dan Pasar Besar Kuantan.

"Kucing sakit akan dibawa balik untuk dirawat, bagi yang mengalami kecederaan serius serta menghidap pelbagai penyakit kronik akan dihantar ke klinik veterinar.

"Saya memiliki seekor kucing jalanan buta yang diambil di celah lorong. Untuk menyelamatkan nyawanya kucing terbabit kini ditempatkan di bawah premis penjagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 7:01 AM