SENTIASA ringan mulut di set penggambaran.
SENTIASA ringan mulut di set penggambaran.
Georgie Joseph

KIAN mendapat tempat dalam industri, pelakon Rita Nadira rancak mengukir nama kala ini. Wajahnya boleh dikatakan kerap menghiasi televisyen dan projek lakonan tidak putus.

Hakikatnya, Rita atau nama sebenarnya Rita Nadira Mohd Ritamurni, 26, sudah kerap juga dipilih menjayakan watak utama. Sekali gus, tidak sukar untuk namanya meniti di bibir peminat.

Namun, anak jati Kuala Lumpur ini sememangnya masih cuba sesuaikan diri dengan populariti ditempa sekarang. Dia perlu fokus untuk terus kekalkan misi mengejar ilmu sebagai pelakon bermutu.

"Saya masih baharu, rasanya tiga tahun dalam industri. Siapalah saya jika dibanding mereka yang sudah lima tahun ke atas. Disebabkan itulah saya cuba sentiasa buat yang terbaik.

"Itulah pesanan saya dapat daripada rakan pelakon Redza Rosli dan Zamarul Hisham. Kalau berlakon, kena ikhlas. Bila jujur dan ikhlas dalam berkarya, dapatlah hasil yang bagus.

"Sekarang pun saya masih belum percaya betulkah saya ada peminat atau ramai sokong. Tapi alhamdulillah, kalau saya berjalan keluar, ada orang tegur," katanya ditemui pada pratonton drama lakonannya Pewaris Cinta, baru-baru ini.

Rita juga mengakui sangat bertuah apabila kerjayanya sentiasa mendapat sokongan orang sekeliling. Sekurangnya dia tahu menjaga batas diri membawa gelaran selebriti.

Paling besar peranannya dalam memantau gerak-geri Rita tidak lain orang tuanya. Dia akui ketegasan mereka sentiasa menjadi tiang kukuh buatnya untuk kekalkan imej terbaik di mata umum.

"Ibu bapa saya selalu ingatkan, bila keluar, jaga perangai, budi-pekerti, dan nama baik keluarga. Nasihat itulah yang saya selalu pegang dan menguatkan saya.

"Kedua orang tua saya pun memang tegas sejak saya kecil lagi. Namun, mereka sangat-sangat menyokong. Tak adalah garang yang marah sentiasa, lebih menegur ke arah kebaikan," katanya.

Walaupun anak bongsu, Rita akui dirinya membesar dengan persekitaran yang cukup matang. Dalam keluarganya, kesemua sudah berusia dan secara tidak langsung dia pun terikut pembawaan begitu.

Dia melihat hal kematangan begitu sebenarnya satu kelebihan. Terutama sebagai anak seni yang kena bergaul dengan ramai pelakon jauh lebih berusia di set penggambaran.

"Saya sudah terbiasa bergaul dengan orang yang berumur. Mungkin disebabkan itulah saya terikut dengan cara mereka. Sekarang ada anak muda mungkin lebih memberontak, tak tahulah kan.

"Rakan-rakan selalu cakap perangai saya macam orang berusia. Persekitaran saya pun memang semua orang berumur," katanya.

Bercerita lanjut, Rita bersyukur pembawaan matang dirinya sangat membantu apabila di set. Di kala pelakon muda lain sibuk dengan telefon bimbit pada waktu senggang, dia lebih memilih bersembang.

Baginya, kesempatan begitulah harus dia jaga rapi demi membina hubungan baik dengan pelakon lama terutamanya. Lagipun katanya dia sejenis mudah bosan layan media sosial.

"Kalau di set penggambaran, pelakon-pelakon sekarang banyak luangkan masa jika tidak terbabit sebarang babak. Itu apa yang saya perhatikanlah. Tapi, saya akan duduk tengok mereka sajalah.

"Bagi saya, kalau buka media sosial, bahan sama saja keluar. Saya tak ada minat nak melihatnya banyak kali. Lebih baik saya berbual dengan orang-orang di set (penggambaran). Saya jarang main telefon.

"Saya suka memerhati karakter dan mood pelakon lain, cara mereka. Saya takkan main langgar untuk berborak dengan cara sendiri terutama dengan pelakon berumur. Saya tahu mereka ada pemikiran berbeza.

"Ada pelakon muda lain sampai ke sudah takut dan tak reti berborak. Tapi kalau saya, alhamdulillah boleh," katanya.

Di kala remaja asyik melekat dengan media sosial, Rita pula tidak merasakan kebergantungan terhadap platform itu. Bukan tidak merasa penting, cuma memang dia akui malas setiap masa buka akaunnya.

"Sebenarnya saya tak banyak kongsi hantaran pun di media sosial. Sampaikan pencipta bahan kandungan yang saya upah pula terpaksa menyuruh saya muat naik apa-apa di media sosial.

"Memang muda-mudi sebaya saya sekarang semua aktif dengan Instagram, Twitter, TikTok, hari-hari nak 'post'. Tapi saya tak rasa hal itu sesuatu yang penting. Saya pun pelik dengan diri-sendiri.

"Memang nak pun, mestilah perlu maklumkan juga kepada pengikut apa perkembangan terbaru. Sejak dulu begitu. Mungkin saya perlu upah orang untuk pegang (akaun) media sosial saya," katanya.

Dalam pada itu, Rita sentiasa terbuka jika ada peluang dapat lebarkan sayap ke negara seberang, Indonesia pula selepas ini. Katanya, jika ada rezeki pastinya impian itu jadi kenyataan juga kelak.

"Memang ada tawaran drama tapi belum rezeki. Tawaran itu saya dapat hujung tahun lalu dan tahun ini pun ada rasanya tapi tak ingat. Nak pergi sana pun bukan mudah sebab belum dikenali di sana. Saya perlu kena pergi sana, uji bakat," katanya.

Sementara itu, drama Pewaris Cinta arahan Emi Suffian ditayangkan di Astro Ria bermula 22 Januari lalu setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.

Drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd itu turut dibintangi Fezrul Khan, Fauziah Latiff, Kartina Aziz, Kash Haiqal, Zamarul Hisham, Jabir Meftah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 6:00 AM