QASRINA awalnya rimas disamakan dengan Mira Filzah. - FOTO Genes Gulitah
QASRINA awalnya rimas disamakan dengan Mira Filzah. - FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman


FILEM Kongsi Raya yang ditayangkan awal tahun lalu membuka laluan buat Qasrina Karim untuk mencipta nama dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun bukan bakat yang dinilai, sebaliknya wajah gadis berusia 26 tahun ini menjadi perhatian ramai apabila disamakan dengan Mira Filzah.

"Tak dinafikan mulanya saya rimas dibandingkan dengan pelakon lain dan seboleh mungkin mahu dikenali dengan identiti sendiri.

"Namun lama-kelamaan persepsi itu berubah apabila saya mula dikenali menerusi bakat berlakon. Ikutkan saya sebenarnya dah berlakon beberapa filem tapi setakat ini hanya Kongsi Raya yang dah ditayangkan.

"Yang lain belum keluar lagi. Untuk drama pun banyak juga saya berlakon. Alhamdulillah, saya rasa dah semakin dikenali. Nama dah makin naik di luar sana serta makin dikenali ramai orang," katanya.

Qasrina berkata, dia makin mendapat tawaran berlakon daripada pelbagai produksi dan terbaru drama Imam Instant Ustazah Scammer berjaya membuka mata penonton terhadapnya.

"Saya beruntung dapat bekerja dengan pelakon hebat antaranya Mira Filzah, Hun Haqeem dan Mierul Aiman.

Gabungan kami diterima ramai. Saya juga dapat tawaran Astro sebagai duta raya tahun ini. Itu juga membantu menambahkan lagi populariti saya," katanya.

Penggambaran Imam Instant Ustazah Scammer sudah tamat, baru-baru ini. Qasrina mengambil keputusan berehat seketika sehingga akhir Ramadan sebelum menerima tawaran berikutnya.

TIDAK melihat tudung sebagai penghalang untuk membawa watak antagonis. - FOTO Genes Gulitah
TIDAK melihat tudung sebagai penghalang untuk membawa watak antagonis. - FOTO Genes Gulitah

"Banyak juga tawaran datang tapi ia belum betul-betul 'solid'. Cerita Imam Instant Ustazah Scammer agak ringan tapi watak yang saya bawa lain sikit daripada watak yang dibawa sebelum ini.

"Sebelum ini saya banyak bawa watak yang baik-baik. Tapi kali ini agak mencabar sebagai wartawan kampung yang 'Joyah' sikit. Okeylah saya seronok bawakannya.

"Kalau ada tawaran watak antagonis, saya terbuka untuk mencuba. Bertudung bukanlah penghalang untuk saya pelbagaikan watak. Apapun saya tak naklah terlalu drastik," katanya.

Sebagai pelakon muda dan cantik orangnya, Qasrina mengakui sering dihubungi peminat menerusi mesej di Instagram.

"Ada yang okey dan ada juga yang bertujuan mengusik. Yang bagusnya ialah mereka yang bagi sokongan kepada saya. Mereka suka dan mengikuti saya sejak bergelar model lagi.

"Tiga tahun dalam industri, ramai bagi sokongan dan saya amat menghargainya. Tak kurang ada yang nak mengenali saya. Kadang-kadang saya tertengok ia bukan akaun palsu.

"Mereka ini dari golongan remaja dan dewasa. Untuk ketenangan diri, saya pilih untuk tidak baca komen yang berbentuk melampau," katanya.

Dalam pada itu keakraban hubungan Qasrina dengan Mierul Aiman di lokasi Imam Instant Ustazah Scammer mencetuskan gosip mereka sedang hangat bercinta.

Menurutnya, hubungan mereka hanya sebagai kawan dan berlaku secara semulajadi. Mereka juga perlu membentuk keserasian bagi menjayakan cerita ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 6:00 AM