SARIMAH gembira dapat berguru dengan Gerry Grennell dari Ireland. - FOTO Genes Gulitah
SARIMAH gembira dapat berguru dengan Gerry Grennell dari Ireland. - FOTO Genes Gulitah
Norhayati Nordin


Nama pengacara dan pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim, 46, baru-baru ini 'meledak' dengan drama Lelaki Itu di TV3 sebagai Sharifah Qaidah yang baginya satu fenomena selepas 15 tahun berehat daripada lakonan.

Malah, kini ibu seorang cahaya mata itu mengakui berasa seronok dan tidak sabar untuk masuk ke set penggambaran drama terbaharunya sebanyak 40 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Bakal berganding dengan Zamarul Hisham pula, Sarimah menyifatkan pembabitannya dalam drama Lelaki Itu sangat membantu dirinya aktif semula sebagai pelakon apabila mendapat pelbagai tawaran.

"Alhamdulillah, banyak juga tawaran berlakon drama yang datang kepada saya dengan watak berat sebagaimana Qaidah. Jadi, ia membuatkan saya mengambil keputusan mencuba watak lain sedikit.

"Ini kerana, watak Qaidah itu sudah sangat berat dan saya tidak mahu membawakan watak yang hampir sama saja. Bagi saya, biarlah mempelbagaikan dan setakat ini, sudah pun mula membuat persiapan untuk peranan baharu itu," katanya.

Sarimah yang mendapat bimbingan lakonan daripada guru bertaraf antarabangsa, Gerry Grennell berkata, dia sangat berbesar hati memperoleh peluang itu walaupun perlu berhadapan bayaran yang mahal.

"Selama 26 tahun sebagai pelakon, saya pernah 'berguru' dengan Mior Hashim Manap pada kemunculan awal dalam drama Seiras Hati pada 1998. Kemudian, saya belajar pula dengan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

"Selepas itu, berguru dengan Aziz M Osman dan akhir sekali dengan Datuk Yusof Haslam. Sebenarnya, ramai juga yang saya anggap 'guru lakonan' dan mereka itu semuanya dari Malaysia yang disifatkan antara terbaik mengikut pengalaman saya," katanya.

SARIMAH akui bangga watak Sharifah Qaidah cetus fenomena. - FOTO Genes Gulitah
SARIMAH akui bangga watak Sharifah Qaidah cetus fenomena. - FOTO Genes Gulitah

Menurut Sarimah, disebabkan penularan Covid-19 lalu menyebabkan dia tiada pilihan untuk mendapatkan guru lakonan selain secara dalam talian yang dibuat oleh guru-guru antarabangsa.

"Kalau boleh saya masih lagi nak berguru dengan Yusof Haslam dan anaknya, Syafiq Yusof, tetapi mereka pun sibuk. Jadi, kita carilah apa yang boleh dibuat ketika Covid-19 itu. Bukanlah nak kata, saya terlalu memilih, tetapi itu (Gerry Grennell) yang saya dapat pada masa itu.

"Secara kebetulan, dia (Gerry) juga dari Ireland iaitu negara ibu saya. Jadi, kita semacam ada satu keserasian di situ yang mungkin, dia pun hendak mengajar saya. Sebabnya, dia tak ambil ramai orang kerana sangat memilih (pelajar)," katanya.

Menurut Sarimah, banyak ilmu lakonan sudah dipelajarinya bersama Gerry, namun tidak semua boleh dipraktikkan kerana perlu mengikut kesesuaian budaya dalam industri hiburan tanah air agar dapat diterima baik oleh penonton.

Sarimah yang pernah bergelar penyanyi dan bertugas sebagai penyampai radio selama empat tahun, bertemu jodoh dengan suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzafar iaitu cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-10 pada 2 April 2015.

Hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun itu, pasangan kerabat diraja ini dikurniakan seorang anak perempuan, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 6:01 AM