FAISAL dijangka hadiri sidang media esok.
FAISAL dijangka hadiri sidang media esok.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kerinduan penyokong bola sepak tanah air terhadap tonggak Harimau Malaya Faisal Halim terubat esok apabila dikhabarkan pemain itu bakal muncul di khalayak ramai kali pertama sejak menjadi mangsa simbahan asid bulan lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu kemungkinan akan menghadiri sidang media pertamanya selepas tempoh lebih sebulan menjadi insiden simbahan asid hingga menyebabkan melecur tahap empat.

Berdasarkan maklumat diterima Arena Metro, Selangor FC akan mengadakan sidang media khas berhubung perkembangan terkini Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey yang mungkin dikawal ketat sebagai langkah keselamatan pemain terbabit.

Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Sehingga kini, status pemain berkenaan sama ada boleh menyertai kem latihan Selangor FC masih lagi menjadi tanda tanya sehingga menyebabkan penyokong bola sepak tanah air memberi gambaran kemungkinan dia akan terlepas aksi saingan Liga Super musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 9:43 PM