FAISAL Halim.
FAISAL Halim.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Proses pemulihan tonggak Selangor FC Faisal Halim bukan hanya tertumpu kepada fizikal semata-mata namun turut membabitkan psikologi yang mungkin trauma berikutan insiden simbahan asid awal bulan lalu.

Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Mohd Hazwan Khair memaklumkan bahawa proses pemulihan sepenuhnya Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengambil tempoh lama sebelum dia dibenarkan turun menjalani latihan seperti biasa.

Beliau berkata, emosi dan psikologi pemain terbabit juga penting selain turut menitik berat mengenai pemulihan fizikal akibat lecuran asid itu.

"Walaupun ramai tertumpu kepada keadaan fizikalnya, keutamaan saya adalah lebih daripada itu. Saya tidak mahu memberi Faisal tempoh masa tertentu untuk kembali kerana ini membabitkan lebih daripada kecederaan fizikalnya. Itu juga yang terlintas di fikirannya," katanya.

Hazwan berkata, pasukan sains sukan Selangor FC turut berkomunikasi dengan pakar psikologi dan psikiatri untuk memberikan penilaian hadap Faisal secara berkala.

Hazwan berkata, mereka akan mendapatkan segala peralatan yang boleh membantu Faisal menangani penumpuan dan pengurusan tekanan sebagai sebahagian daripada pemulihan mentalnya.

"Terdapat permainan rangsangan otak yang boleh membantu dengan fokus, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana ini memberi kesan kepada keselesaan dan kesesuaiannya," katanya.

Dari segi fizikal, Hazwan berkata, parut di lengan Faisal adalah hasil daripada pembedahan cantuman kulit yang dijalaninya.

Sebelum ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali bulan lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Faisal yang kelihatan masih belum pulih sepenuhnya daripada serangan asid pada 5 Mei lalu tampil buat pertama kali di khalayak awam menerusi satu siding media pada Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:16 PM