FAISAL Halim (kiri) bersama pengendali negara, Kim Pan-gon. FOTO FB FAM
FAISAL Halim (kiri) bersama pengendali negara, Kim Pan-gon. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon jelas merindui dan menyayangi tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim apabila menganggap kepulangan pemain itu ke pasukan kebangsaan sebagai wira negara.

Pada masa sama, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu turut mendoakan Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey kembali sihat dan terus menjadi aset terbaik skuad kebangsaan.

Pan-gon juga tanpa berselindung menyatakan 'rasa sayang' kepada pemain terbabit dan mengharapkan Mickey mengharungi segala dugaan dengan tabah serta kuat.

"Jika dia kembali sihat sebagai pemain bola sepak, ia akan jadi satu pertolongan hebat kepada pasukan Malaysia dan Faisal akan jadi wira negara," kata Pan-gon ketika ditemubual pempengaruh Korea yang dikenali sebagai The Football Bohemian.

Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali bulan lalu menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Dia berada dalam keadaan kritikal selepas insiden itu dan terpaksa mengharungi empat pembedahan untuk merawat luka lecuran di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Kecederaan yang dialami Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 2:26 PM