SHUIB (kiri), Zizan, Che Ta, Daiyan Trisha dan Aeril. FOTO Arkib NSTP
SHUIB (kiri), Zizan, Che Ta, Daiyan Trisha dan Aeril. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir & Ramlah Zainal

Bagaikan sudah menjadi trend golongan selebriti menayangkan kemewahan dimiliki di era media sosial ketika ini.

Ada selebriti yang bergelar usahawan menganggap kemewahan yang ditonjolkan itu sebagai inspirasi untuk pengikut mereka di laman sosial.

Bagaimanapun, kemewahan yang dipaparkan di media sosial juga boleh mengundang padah apabila berlakunya kejadian tidak diingini seperti dirompak dan sebagainya.

Che Ta

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta, 51, berkata, semuanya bergantung pada niat dan tujuan seseorang selebriti itu menayangkan kemewahannya di media sosial.

"Ada selebriti yang menayangkan kemewahan dengan tujuan untuk memberi inspirasi dan membantu orang lain. Tapi kalau niat untuk menunjuk-nunjuk ia akan menjadi riak pula," katanya.

Che Ta berkata, tidak semestinya selebriti menayangkan kemewahannya untuk menarik lebih ramai pengikut di media sosial.

"Kadang-kadang, orang nak tengok sisi lain artis apabila di luar. Jika sebelum ini, mereka sudah selalu tengok artis itu bawa watak jahat dan penyondol dalam lakonan tapi sisi lainnya pula dia sebenarnya seorang yang baik.

"Sisi lain artis itu bukan kemewahan tapi gaya hidupnya. Kalau gaya hidupnya memang sudah mewah, contohnya, dia mahu pakai busana yang sepadan dengan beg tangan berjenama dan kasutnya, itulah realiti yang dipaparkan. Begitu juga kalau gaya hidupnya biasa-biasa saja itu juga ditayangkan pada peminat di media sosial," katanya.

CHE Ta. FOTO Arkib NSTP
CHE Ta. FOTO Arkib NSTP

Mengenai perniagaan pula, kata Che Ta, ada selebriti tayang kemewahan sebagai bukti kejayaannya dalam membina empayar perniagaan.

"Bila dia menjadi stokis produk, dia perlu menunjukkan apa yang dia buat untuk beri inspirasi pada stokis di bawahnya pula.

"Kadang kadang bukan nak tayang pun, tapi kalau dia memang pakai beg jenama Birkin dan itulah juga yang orang nampak," katanya.

Mengulas aspek keselamatan, Che Ta berkata, itu antara faktor dia kadang-kadang keluar rumah tidak memakai barang kemas kerana bimbang kejadian tidak diingini.

"Kita boleh tayang barang kemas mewah tapi janganlah terlalu ketara kerana bimbang ada orang dengki pula.

"Kalau nak tayang pun berpada-padalah demi keselamatan. Kecuali jika artis itu memiliki lima hingga tujuh orang pengawal peribadi untuk melindungi keselamatannya," katanya.

DAIYAN Trisha. FOTO Arkib NSTP
DAIYAN Trisha. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha berkata, kemewahan yang dipaparkannya di media sosial hanyalah sebahagian dari kerja kerana dia banyak bekerjasama dengan pelbagai jenama antarabangsa.

"Itu saja yang saya boleh katakan. Mungkin ada segelintir pihak yang berasa motivated untuk mencapai lifestyle (gaya hidup) yang sama seperti dipaparkan di media sosial saya itu. Ia sekali gus akan memberi semangat untuk mereka bekerja lebih keras lagi untuk mencapainya," katanya.

Shuib

Tidak semua artis menayang kemewahan di media sosial itu kerana mahu menunjuk-nunjuk.

Pelawak dan pelakon popular, Shuib berkata, ia bergantung kepada niat seseorang artis itu.

"Ada artis tayang kemewahan kerana mereka sudah bekerja keras dan itu hasil yang perlu diraikan. Ia sebagai inspirasi kepada orang lain untuk berjaya pada masa hadapan.

"Bagi golongan artis yang berniaga, ia usaha yang harus disyukuri agar bekerja keras untuk lebih berjaya pada masa depan," katanya.

Menurut Shuib, personaliti seseorang artis juga sudah cukup untuk menarik minat orang ramai untuk mengikuti mereka di media sosial.

"Artis tidak perlu tayang kemewahan pun kerana jika seseorang itu sudah suka, mereka tetap mengikuti artis itu di media sosial.

"Perlu tanya kepada peminat kenapa mereka mengikuti akaun selebriti A tapi tidak mengikuti akaun selebriti B?

"Ada sebab yang menarik perhatian mereka dan tak semestinya mengenai kemewahan dan sebagainya. Selebriti juga lebih kepada untuk beri inspirasi dan buka peluang pada pengikutnya untuk berjaya," katanya.

Shuib berkata, istilah tayang kemewahan di media sosial sebenarnya tidak tepat, sebaliknya lebih yang tepat untuk pamer kejayaan itu penting untuk selebriti yang berniaga.

"Semua itu adalah bukti mereka juga boleh berniaga dengan baik, ada produk sendiri dan dipercayai.

"Tidak ada orang yang mahu perniagaan mereka tidak dipercayai ramai. Mungkin ada yang menunjukkan kejayaan tapi disalah ertikan sebagai menonjolkan kemewahan. Mungkin juga ada yang berniat sebegitu, perlu tanya mereka kenapa begitu," katanya.

SHUIB. FOTO Arkib NSTP
SHUIB. FOTO Arkib NSTP

Ditanya sama ada kemewahan yang ditunjukkan di media sosial boleh mengundang bahaya seperti dirompak dan sebagainya, Shuib menasihatkan semua pengikutnya di media sosial supaya lebih berhati-hati.

"Perkara yang mengundang bahaya ini bukan saja berlaku kepada selebriti tetapi juga kepada semua anggota masyarakat. Siapa yang leka dan lalai akan mendapat bahaya," katanya.

Ditanya sama ada dia memilih untuk tayang kemewahan seperti rumah mewah, kereta mewah di media sosial, Shuib berkata, tidak semua orang menunjuk aset mereka dengan niat untuk menayang dan bermegah-megah.

"Kami hanya meraikan kejayaan dalam bidang seni. Kalau tidak ditunjukkan kejayaan bagaimana mahu meraih kepercayaan orang ramai atau rakan kongsi dalam perniagaan?

"Orang tak nampak apa yang dilalui artis di belakang tabir, padahal semua orang berusaha keras untuk berjaya. Siapa tahu kita mampu melahirkan lebih ramai orang yang berjaya pada masa hadapan," katanya.

Zizan Razak

Selebriti yang menayangkan kemewahan di media sosial perlu mengetahui objektif dan niat masing-masing untuk berbuat demikian.

Pelakon dan pelawak, Zizan Razak berkata, jika ia membabitkan soal kerja dan penajaan di mana artis itu perlu muat naik gambar dia bersama jam tangan, sofa atau kereta mewah di media sosial selaku duta atau wajah jenama terbabit, ia tidak wajar dipertikaikan.

"Kalau kerjasama dengan jenama itu bagus untuk reputasi sebagai selebriti, saya juga akan terima contohnya kerjasama dengan jenama antarabangsa.

"Selain itu, kalau niat artis itu memang nak tayang kemewahan atas sebab perniagaan dan beri inspirasi kepada pengikutnya di media sosial," katanya.

ZIZAN. FOTO Arkib NSTP
ZIZAN. FOTO Arkib NSTP

Berbeza dengan dirinya pula, kata Zizan, dia sendiri memang tidak suka untuk menayangkan kemewahan di media sosial.

"Saya memang sedikit introvert dan kalau boleh memang tak nak orang tahu pun. Contohnya kereta yang saya beli untuk buat ibu gembira, tapi abang saya yang muat naik gambar kereta itu media sosialnya," katanya.

Zizan berkata, dia memang mengamalkan cara hidup sederhana sejak sebelum bergelar selebriti lagi.

"Saya masih berbelanja seperti dulu sedangkan saya boleh makan dan pakai apa saja sekarang. Istilah kejayaan bagi pelakon ialah kita perlu berlakon sebaik mungkin. Bila orang keluar panggung, mereka gembira dan terhibur menonton lakonan kita," katanya.

Ditanya risiko kejadian tidak diingini pula, kata Zizan, ia memang tidak dapat dielakkan pada zaman sekarang.

"Kalau artis nak tunjuk rumah mewah di media sosial pastikan aspek keselamatan juga kena hebat dan canggih. Sebagai contoh, kereta mewah juga sudah ada aspek keselamatan yang hebat tapi kena curi juga," katanya.

Aeril Zafrel

"Saya hanya nak berkongsi kegembiraan. Itu saja. Apa pandangan orang, saya tidak boleh elak," kata pelakon dan usahawan terkenal, Aeril Zafrel mengenai tindakannya yang suka berkongsi harta dimiliki iaitu kereta mewah.

Menurut Aeril, perkongsian di media sosial itu sebagai satu bentuk kenangan selain menganggap apa yang dipaparkan itu tidak keterlaluan.

"Bagi saya, setiap perkongsian itu lebih kepada memori. Kalau kata nak tunjuk ia sebagai bukti kejayaan dalam perniagaan, bukan setiap masa saya berkongsi mengenai harta atau kemewahan.

"Apa yang saya kongsi itu lebih kurang sama juga dengan pengasas produk atau ahli perniagaan lain. Tidak pernah lagi saya sampai melampaui batas dengan tunjuk segala isi dalam rumah dan tabur duit. Saya tahu apa yang boleh dan tidak.

"Kalau perasan, dari dahulu lagi saya suka kongsi mengenai kereta. Jadi, bagi saya ada momen yang nak kongsi, kita buat. Bukan selalu pun," katanya.

Menurut Aeril, setiap individu itu mempunyai cara dan pilihan masing-masing untuk berkongsi apa yang dimiliki.

Aeril berkata, sikap berwaspada dan jangan terlalu ghairah berkongsi di media sosial tetap menjadi peringatan buat dirinya dan isteri yang juga pelakon, Wawa Zainal.

AERIL tiada niat ‘menunjuk’ kemewahan tetapi sekadar menghargai memori indah. FOTO Arkib NSTP
AERIL tiada niat ‘menunjuk’ kemewahan tetapi sekadar menghargai memori indah. FOTO Arkib NSTP

"Cara setiap orang berbeza. Macam saya dan isteri lebih fokus pada nak memperkenalkan jenama produk, bukan yang bersifat peribadi atau diri sendiri sangat. Cuma penat kalau nak naikkan 'personal branding', jika tak buat, tiada jualan dan tak ada orang nak tengok.

"Sebenarnya takut juga dengan kewujudan orang 'merah mata' yang mungkin selama ini sudah menyasarkan kehidupan kita. Saya sedar dan takut juga jika berlaku perkara tidak diingini. Macam di rumah sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga. Sebab di rumah ada anak-anak dan keluarga. Kalau boleh nak aman saja.

"Kalau di luar pula tak pernah lagi ada rasa diekori sebab saya pun tak nampak mewah kalau di luar, sama saja macam orang biasa. Saya menjadi diri sendiri. Penat juga kalau setiap masa kena tunjuk kekayaan itu," katanya.

Aeril berkata, kebanyakan perkongsian dibuat juga turut mendapat liputan media termasuk kejayaan memiliki wisma perniagaan.

"Saya tunjuk apa lagi, sebab semua sudah tahu apa saya ada. Wawa pun sama juga, mana ada di tangannya barang emas. Walaupun ada tak tunjuk. Dia pun lebih suka pada nak kongsi momen dan simpan.

"Jadi bagi saya, apa juga harta yang ada sekarang, diam-diam saja. Pada tahap sekarang ini, apa lagi nak tunjuk, sebab orang sudah tahu pun. Lagi pula, tak perlu nak tunjuk sangat kaya tu. Penat jika terlalu beriya nak tunjuk semua apa yang kita ada.

"Saya pun tidak tahu apa pandangan orang terhadap kami. Tidak pernah terfikir apa persepsi orang. Kalau nak pandang kami berjaya dan kaya, kami okay saja. Sebaliknya pun okay saja. Paling penting, kami tahu apa yang kami ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 7:05 AM