NADIA Brian. FOTO Arkib NSTP
NADIA Brian. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Demi Allah! Itu bukan saya!". Demikian kata pelakon, Nadia Brian ketika dihubungi dan diminta mengulas mengenai nombor telefon palsu yang digunakan individu tidak bertanggungjawab dan mengaku sebagai dirinya.

Menurut Nadia, dia juga mendapat tahu mengenai perkara itu melalui rakan artis, Puteri Sarah Liyana yang dihubungi oleh individu 'scammer' itu.

"Ada orang menyamar menjadi saya. Saya dimaklumkan oleh Sarah, dia cakap ada orang kirimkan mesej dan mengaku itu saya. Dia tanya nak jumpa Datuk tak, nak bagi 'job'.

"Sarah hubungi dan tanya sama ada saya ada nombor baharu atau apa. Saya cakap, tak ada. Dia macam tawarkan kepada Sarah untuk 'layan' Datuk.

"Saya terus kongsi di media sosial sebab takut orang percaya," katanya kepada Harian Metro.

PERKONGSIAN Nadia di media sosial.
PERKONGSIAN Nadia di media sosial.

Menurut Nadia, taktik yang digunakan 'scammer' ini adalah mengaku sebagai selebriti seperti mana yang berlaku kepada anggota Rabbani, Azadan, baru-baru ini.

"Ini, dia ganggu kawan-kawan selebriti. Baru-baru ini, saya ada dengar juga mengenai anggota Rabbani kena benda sama.

"Setakat ini, saya belum buat laporan polis lagi sebab dalam perjalanan ke set penggambaran di Nilai. Kalau sempat, hari ini saya nak kena buat laporan polis.

"Scammer ini guna nama artis dan ini akan memburukkan nama artis. Klien pun ada yang mesej tanya sebab mereka nak hantar produk. Mereka takut ada yang guna nama saya atau apa," katanya.

Di media sosialnya, Nadia turut memuat naik maklumat mengenai nombor telefon yang digunakan 'scammer' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 5:37 PM