PERNAH hidup susah bersama Wawa, Aeril berharap diteguhkan hati untuk tidak goyah dengan ujian.
PERNAH hidup susah bersama Wawa, Aeril berharap diteguhkan hati untuk tidak goyah dengan ujian.
Zaara Talita


BENAR seperti kata pepatah, di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang kuat di belakang yang sentiasa menyokongnya.

Menggunakan pendekatan sama untuk berada di tahap sekarang, pelakon dan ahli perniagaan, Aeril Zafrel, 33, mendedahkan amalan menyerahkan kepercayaan pengurusan kewangan kepada isterinya, Wawa Zainal.

Amalan itu diterapkan pasangan selebriti itu sejak mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun lalu yang turut menjadi rahsia kejayaan perniagaan mereka.

Aeril berkata, kebolehan Wawa menguruskan hal ehwal pengurusan wang syarikat dengan baik sudah terbukti menerusi perkembangan perniagaan rangkaian produk kecantikan mereka sejak mula beroperasi sehingga kini.

"Tips kejayaan yang saya amalkan sehingga ke hari ini ialah saya biarkan Wawa menguruskan semua wang perniagaan kami. Malah, sampai sekarang saya masih tak tahu lagi nak pindahkan wang syarikat sebab saya percaya kalau wanita yang uruskan wang, insya- Allah semuanya akan baik-baik saja," katanya.

Pada masa sama, Aeril turut bersyukur terhadap rezeki serta kebahagiaan yang dikecapi mereka selepas melalui pelbagai ujian sepanjang tempoh sedekad melayari kehidupan bersama.

"Alhamdulillah, sudah 10 tahun kami hidup bersama. Banyak dugaan yang kami lalui dari awal perkahwinan hinggalah hari ini. Kami bukanlah pasangan yang sempurna.

"Masih banyak yang kami harus pelajari walaupun sudah satu dekad sebantal bersama-sama. Kerana saling melengkapi kekurangan masing-masing itu lebih baik daripada mencari kesempurnaan.

"Alhamdulillah, tidak terkira banyaknya nikmat yang Tuhan pinjamkan sepanjang kami bersama. Daripada empat orang anak hingga kejayaan hari ini.

"Kami bersusah payah bersama-sama, jadi apabila hidup sudah senang begini, takkan saya sendiri mahu menambah pening dengan mencari skandal. Fokus ketika ini adalah masa depan keluarga," katanya.

Pasangan romantis ini mendirikan rumah tangga pada 2013 dengan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 8; Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6; Ayya Soffya, 2, dan Muhammad Fahri yang dilahirkan November tahun lalu.

Menurut Aeril, apa yang dikongsikan di media sosial bukanlah untuk mengundang rasa riak sebaliknya sebagai peringatan buat dirinya.

Malah, detik-detik indah itu dapat diabadikan di alam maya sebagai menghargai apa yang dinikmati ketika ini.

"Saya sebenarnya tidak berani hendak bercerita atau mengulas lanjut apabila ada yang menjadikan saya sebagai rujukan dalam berumah tangga. Ini kerana kita sendiri tidak dapat menduga masa depan.

"Cuma mungkin jika sesekali timbul rasa hendak melakukan sesuatu, apa yang dimuat naik di media sosial menjadi peringatan buat saya. Sentiasa beringat dan dipermudahkan segala urusan," katanya.

Terbaru, percutian pasangan selebriti itu sekali lagi mengundang perhatian apabila berkongsi video menikmati hidangan stik mewah di sebuah restoran milik tukang masak popular, Salt Bae di London.

Menerusi video yang dimuat naik Aeril memaparkan layanan istimewa daripada Salt Bae sendiri yang menabur garam di atas hidangan daging stik yang dipesan.

Tidak cukup dengan itu, jumlah bil yang diterima mereka juga turut mengejutkan ramai iaitu lebih RM10,000.

"Sudah dua tahun sebenarnya tidak dapat bercuti, jadi saya menggunakan tempoh terbabit untuk mengumpul wang. Bila dah sampai bil, semestinya kita kena bayar tidak boleh buat apa dah kan?

"Cuma saya berkongsi bukan hendak menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kemewahan, tetapi pengikut di Instagram sering bertanya berapa harga dan sebagainya. Jadi saya cuma berkongsi nilai sebenar, itu saja," katanya.

Aeril juga tidak terlepas daripada usikan-usikan netizen yang menggambarkan harga itu bersamaan dengan jumlah pengeluaran wang khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Selain itu, Aeril dan Wawa juga pernah dikecam kerana dikatakan menunjuk-nunjuk kemewahan seperti hadiah kereta mewah sempena sambutan hari jadi baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 6:00 AM