(KIRI) Nabil  dan isteri mengenakan aksesori berjenama mewah. (TENGAH) Aaisyah mengenakan beg tangan berjenama. (KANAN) Shuib mengenakan jam tangan mewah Hublot.
(KIRI) Nabil dan isteri mengenakan aksesori berjenama mewah. (TENGAH) Aaisyah mengenakan beg tangan berjenama. (KANAN) Shuib mengenakan jam tangan mewah Hublot.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Media sosial adalah platform komunikasi digemari ramai dan hampir setiap hari manusia menghabiskan masa melayari media sosial untuk membuat perkongsian peribadi, perniagaan mahupun urusan kerja.

Daripada penggiat seni, ahli politik, usahawan dan pempengaruh, rata-rata aktif menggunakan media sosial terutama di aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok.

Bagaimanapun, kehidupan sebagai insan dikenali sudah pasti segala perbuatan dan perkara akan diteliti orang ramai.

Ini termasuk pakaian dan aksesori yang digayakan di media sosial sehingga meraih perhatian walaupun tiada niat untuk menunjuk kemewahan diri.

Inilah yang berlaku kepada selebriti popular, Nabil Ahmad apabila foto yang memaparkan dia bersama beg berjenama mewah, Dior mendapat reaksi ramai pihak yang terkejut dengan harga beg itu yang dianggarkan mencecah RM12,000.

Nabil berkata, sebagai selebriti tidak semua barangan berjenama yang dipakai dibeli hasil titik peluhnya, sebaliknya menerima hadiah daripada ahli keluarga dan rakan.

"Beg itu adalah hadiah pemberian isteri saya. Kalau ikutkan ramai saja yang pakai barangan mewah, tapi dah namanya artis pasti menjadi tumpuan. Sebenarnya ada barangan yang saya gunakan hasil pemberian keluarga dan rakan. Saya pakai pun sebagai tanda terima kasih untuk setiap pemberian itu.

"Contohnya kalau isteri saya hadiahkan sesuatu, dia pasti akan tanya kenapa saya masih tak gunakannya lagi. Adakah sebab saya tidak sukakannya? Jadi, untuk elakkan semua itu saya gunalah sebagai tanda apresiasi kepada setiap pemberian orang.

"Selain itu, ada juga barang yang dulu mungkin saya tak mampu nak pakai, tapi bila ada duit lebih, saya beli. Malah, terdapat juga barang yang dulunya saya beli dengan harga rendah tapi sekarang nilainya sudah naik.

"Contohnya satu kasut yang pernah saya beli sebelum ini harganya biasa-biasa saja, tapi tak tahu pula yang harganya naik sampai belasan ribu ringgit sekarang. Jadi, macam-macam benda boleh jadi dekat sesuatu yang kita pakai," katanya.

Nabil berkata, tidak semua barangan mewah yang diimpikan mampu dibeli kerana dia enggan menyesal di kemudian hari.

"Sebenarnya tak banyak barang mewah yang saya beli sebab masih berkira-kira jika harganya terlalu mahal. Saya akan jadi ralat, lebih-lebih lagi kalau nak beli kasut yang terlampau mahal kerana kesudahannya nak pakai di kaki.

"Cuma barangan lain yang dibeli adalah rezeki daripada Tuhan. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang perasan setiap apa yang saya pakai," katanya.

Selain Nabil, terdapat juga pelawak lain seperti Shuib yang menggayakan barangan mewah di media sosial hasil kejayaan dan kerja keras yang dilakukan selama bergiat aktif dalam dunia seni.

Shuib dilihat mengenakan jam tangan mewah jenama Hublot yang dianggarkan berharga lebih RM88,000.

IFA (kiri) penuh bergaya dengan  perhiasan emas.
IFA (kiri) penuh bergaya dengan perhiasan emas.


'Daripada beli beg, baik saya beli emas'

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ifa Raziah mengaku barangan kemas yang digayakan di media sosial bukan bertujuan untuk menunjuk-menunjuk sebaliknya dibeli untuk simpanan pada masa mendatang.

Ifa berkata, sebelum ini dia kerap membeli beg tangan mewah jenama Louis Vuitton namun sejak negara dilanda Covid-19 dia mula mengubah gaya hidupnya.

"Apa yang anda lihat adalah penghargaan untuk diri sendiri saja. Saya dah kerja penat-penat dan sebelum ini kerap beli beg tangan mahal yang saya rasa rugi. Lebih baik saya beli sesuatu yang boleh memberi pulangan berganda.

"Contohnya kalau beli emas saya boleh jual dan dapat nilai yang lebih tinggi, tetapi kalau beli beg tangan harganya akan jatuh. Saya beli barangan kemas ini bukan untuk berlagak tapi untuk simpanan.

"Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya mula terfikir untuk menyimpan. Saya enggan buat pelaburan yang tiada jaminan masa depan. Andai kata negara berdepan inflasi hingga mata jatuh, emas masih ada bernilai.

"Saya muat naik gambar atau video bersama barangan kemas bukan nak riyak atau berlagak tapi peringatan untuk diri sendiri supaya ada perancangan yang baik untuk masa depan,"katanya.

Dalam pada itu, terdapat selebriti popular yang dilihat memuat naik gambar bersama beg tangan mewah jenama Hermes seperti Nur Fazura dan Datin Paduka Eina Azman,

Difahamkan beg jenama itu dijual dengan harga bermula RM38,000 hingga RM1.6 juta.

Selain itu, anak kepada pelakon Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana turut kelihatan memakai beg tangan jenama mewah di Instagram miliknya.

Antaranya adalah beg tangan jenama Jacquemus dan Dior yang dianggarkan bernilai RM5,000.

CIK B mengenakan pakaian dan aksesori berjenama mencecah RM657,750.
CIK B mengenakan pakaian dan aksesori berjenama mencecah RM657,750.


Bukan nak flex pun!

Kuala Lumpur: "Kenapa semua panas? Ada masalah ke?" kata anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B mengenai pertikaian orang ramai terhadap harga pakaian dan aksesori yang digayakannya mencecah RM657,750.

Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen berkata, apa yang dikenakan adalah mengikut keselesaan peribadi dan tiada niat untuk menunjuk-nunjuk barangan dibeli.

"Baju tu beli tahun lalu, tapi tahun ini baru kali pertama pakai, Cik B main rembat (ambil) saja apa dalam almari asalkan selesa. Bukan nak flex (menunjuk) atau style sangat pun," tulisnya di Twitter.

Menurut Cik B, sebelum ini dia sering membeli pakaian bundle namun baju jenama antarabangsa itu perlu dipakai kerana bimbang berlaku kerosakan.

"Baju Cik B sebelum ini semua bundle. Kalau tak pakai baju Dior itu, nanti rosak pula terbiar dalam almari," katanya.

Terdahulu, nama Cik B menjadi bualan hangat netizen selepas berkongsi satu foto Oufit Of The Day (OOTD) di media sosial berserta harga setiap barangan yang digayakannya.

Menerusi foto yang dikongsikan, Cik B menggayakan pakaian dan aksesori daripada pereka ternama antarabangsa.

Baju berserta hoodie jenama Dior yang digayakannya berharga RM14,400, manakala skaf jenama sama bernilai RM1,750.

Cik B turut memadankan gayanya dengan sepasang kasut bernilai RM5,300.

Bagi aksesori pula, Cik B memperagakan dua bentuk cincin jenama Versace dan Unbranded yang kedua-duanya bernilai RM106,300.

Paling mencuri tumpuan ramai adalah jenama dan harga jam tangan yang digayakan iaitu bernilai RM530,000.

Dalam pada itu, penyanyi Ayda Jebat turut kelihatan memakai pakaian dan aksesori jenama mewah seperti Louis Vuitton dan Dior.

Menerusi perkongsian terbaharu Ayda memuat naik sekeping foto di Instagram yang memaparkan dirinya sedang mengenakan but jenama Louis Vuitton yang dianggarkan berharga RM7,000 dan beg tangan berharga RM12,000.

Ayda berkata, kebanyakan aksesori atau barangan mewah yang dibeli menggunakan hasil kerja seninya.

"Kebanyakannya saya beli sendiri sebagai hadiah untuk setiap kerja yang dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 12:00 PM