KALI keempat mengadakan konsert di Malaysia.
KALI keempat mengadakan konsert di Malaysia.
Riadz Radzi


Daripada ratusan band rock dari Britain, Amerika Syarikat dan Eropah yang menakluk peminat rock tanah air sejak era 70-an dan 80-an, jangan dilupakan satu band dari Jepun ini.

Itulah Loudness - band yang ditubuhkan di Osaka, Jepun pada 1980 ini sinonim dengan perkembangan muzik rock tanah air bermula pertengahan 80-an dulu.

Waktu itu, tanyalah mana-mana peminat rock di sini. Ibaratnya tidak lengkap semangat rock itu jika tidak mendengar lagu Loudness yang ditubuhkan oleh Akira Takasaki (gitar), Munetaka Higushi (dram) dan Hiroyuki Tanaka (bass) ini.

Logo matahari yang sinonim dengan Loudness dan kerap ditampilkan dalam kulit album cukup popular. Berbondong-bondong menjadikannya sebagai baju-T. Ada yang membeli di kedai dan tak kurang juga yang melukisnya sendiri.

Sehubungan itu, khas buat peminat mereka di sini, Loudness yang kini dianggotai Minoru Niihara (penyanyi), Akira Takasaki (gitar), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram) akan mengadakan konsert di Zepp Kuala Lumpur pada 14 September ini sempena Loudness World Tour 2024 - Greatest Ever Heavy Metal.

Konsert anjuran Rockstage Entertainment ini pastinya sesuatu yang cukup mengujakan kerana Loudness bakal memberikan beberapa kejutan.

Pengarahnya, Talib Othman berkata, sebelum ini, harga tiket yang ditawarkan bermula RM280, namun selepas mengambil kira pelbagai faktor, mereka tawarkan dengan harga RM260.

LOUDNESS ketika era 80-an apabila mencipta sejarah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat.
LOUDNESS ketika era 80-an apabila mencipta sejarah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat.

"Ini akan memberikan peminat akses lebih besar apabila menghadiri konsert ini. Mereka juga berpeluang berjumpa dengan anggota Loudness di sesi 'meet & greet' untuk tiket berharga RM350," katanya.

Selain itu, ini bukanlah kali pertama Loudness menjejakkan kaki ke negara ini.

Band yang mencetuskan revolusi 'rock timur' ini pernah beberapa kali mengadakan konsert di Kuala Lumpur bermula di KL Live pada 2011.

Enam tahun kemudian, mereka kembali dengan konsert di Festival Sound Valley di Maeps, Serdang dan yang terakhir di The Bee, Publika, Kuala Lumpur pada 2019.

Sejak 1981, Loudness sudah memiliki 26 album studio dengan lagu yang dihafal peminatnya seperti So Lonely, Heavy Chains, Lost Without Your Love, Crazy Night, Soldier of Fortune, Let It Go dan banyak lagi.

Legenda rock Jepun yang mula menempa nama menerusi Konsert Jelajah Amerika Utara dan Eropah pada 1983 ini adalah band rock Jepun pertama di bawah syarikat rakaman antarabangsa, Atlantic Records.

Kehebatan mereka tidak perlu dipertikaikan apabila sering berjaya menembusi carta Billboard Amerika Syarikat (AS) serta turut mencipta sejarah dengan menjadi artis Jepun pertama menggamatkan arena berprestij antarabangsa, Madison Square Garden di New York, AS.

Seperti kebanyakan band rock lain, Loudness turut mengalami pertukaran anggota dan kini sinonim dengan 'line-ups' klasiknya iaitu Takasaki, Yamashita dan Niihara.

Bagaimanapun, seorang pengasasnya yang juga pemain dram, Higuchi meninggal dunia pada 30 November 2008 dan akibat kanser dan digantikan oleh Suzuki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 7:00 AM