MR Big tampil persembahan bertenaga.
MR Big tampil persembahan bertenaga.
Riadz Radzi


ENTAH kenapa Mr Big kurang popular di negara kelahiran mereka, Amerika Syarikat.

Di sana, Mr Big yang kini dianggotai Eric Martin (penyanyi), Paul Gilbert (gitar), Billy Sheehan (bass) dan Nick D'Virgilio (dram) dilabel sebagai band 'one hit wonder' berdasarkan lagu popular mereka, To Be With You dari album kedua, Lean Into It pada 1991.

Secara peribadi, saya kurang bersetuju kerana Mr Big memiliki banyak lagu berkualiti terutama dari tiga album terawal iaitu Mr Big, Lean Into It dan Bump Ahead.

Malah, dari sudut teknikal, Mr Big memiliki pemuzik handal dengan reputasi tinggi seperti Gilbert dan Sheehan yang menjadi rujukan ramai pemuzik.

Minggu lalu, Mr Big tampil dengan konsert di Zepp Kuala Lumpur sempena konsert jelajah dunia The Big Finish.

Apa yang menarik, mereka memilih Asia untuk konsert jelajah terakhir ini dan Kuala Lumpur adalah lokasi terakhir di benua Asia selepas Nagoya, Osaka, Tokyo, Seoul, Hong Kong, Taipei, Singapura, Bangkok dan Jakarta.

Awal tahun depan The Big Finish diteruskan di Amerika Syarikat, Britain, Eropah dan Amerika Selatan sebelum mereka berehat.

Jadi, jika anda peminat Mr Big tidak hadir ke konsert mereka minggu lalu, anda rugi kerana itu konsert terakhir Mr Big di sini.

Malaysia juga bukan asing buat Mr Big kerana sudah tiga kali mengadakan konsert di sini. Kali pertama pada awal 1990-an di Stadium Merdeka dan kali kedua di Mega Star Arena pada 2017.

Malah, Sheehan dan Gilbert juga pernah beberapa kali berkunjung ke sini mengadakan sesi klinik gitar dan bass.

BUNYI muzik band rock legenda AS di Zepp KL ‘melekat’ dengan persembahan, teknik permainan hebat.
BUNYI muzik band rock legenda AS di Zepp KL ‘melekat’ dengan persembahan, teknik permainan hebat.

Dalam konsert kali ini, Mr Big menggunakan khidmat Nick D'Virgillio sebagai pemain dram. Bekas pemain dram Spork's Beard itu menggantikan pemain dram asal, Pat Torpey yang meninggal dunia pada 2018 akibat Parkinson.

Dalam konsert Mr Big, bukan saja lagu popular mereka dinantikan dengan vokal tinggi Martin, tetapi kehadiran Gilbert dan Sheehan paling membuat kebanyakan penonton teruja.

Di Malaysia khususnya, ramai pemuzik kagum dengan dua figura ini dengan teknik permainan mereka yang hebat.

Bagi saya yang tidak mahir bermain muzik pastinya cukup kagum dengan kemampuan mereka. Mengendalikan gitar dan bass ibarat 'memakan pizza' buat Gilbert dan Sheehan. Terlalu mudah buat mereka! Solo gitar lagu Just Take My Heart, To Be With You dan Wild World daripada Gilbert 'sebijik' seperti dalam album.

Lebih menarik mengenai konsert ini ialah Mr Big memainkan semua lagu dari album Lean Into It. Ia dimainkan mengikut senarai trek seperti dalam album berkenaan bermula dengan Daddy, Brother, Lover, Little Boy (The Electric Drill Song), Alive and Kickin, Green-Tinted Sixties Mind, CDFF-Lucky This Time, Voodoo Kiss, Never Say Never, Just Take My Heart, My Kinda Woman, A Little Too Loose, Road to Ruin dan To Be With You.

Lean Into It juga album mereka paling berjaya apabila menduduki tangga ke-15 carta Billboard 200 selain lagu To Be With You mengungguli tangga teratas carta Billboard Hot 100.

Sesi akustik lagu Big Love, Promise Her The Moon dan Wild World juga sesuatu yang cukup padu daripada band asal Los Angeles ini. Kredit buat Gilbert dengan 'sound' dan permainan gitar yang cukup 'melekat'.

WALAUPUN popular di Asia, tetapi dikenali sebagai band ‘one hit wonder’ di negara sendiri.
WALAUPUN popular di Asia, tetapi dikenali sebagai band ‘one hit wonder’ di negara sendiri.

Selain itu, Mr Big turut membawakan lagu yang 'mesra peminat setia' mereka seperti Addicted To That Rush, Take Cover, Undertow dan Colorado Bulldog.

Bagi sesi 'encore', Mr Big memainkan lagu 'cover' iaitu 30 Days In The Hole (nyanyian asal Humble Pie), Good Lovin' (The Young Rascals) dan Baba O'Riley (The Who).

Ketika lagu Good Lovin', Mr Big melakukan sesuatu yang jarang dilakukan band rock lain ketika konsert iaitu menukar posisi 'instrument' masing-masing.

Dalam lagu itu, Martin bermain bass, Gilbert sebagai pemain dram, D'Virgilio pula bermain gitar, manakala Sheehan tampil sebagai penyanyi. Tentunya menarik dan mereka pula tetap mahir dan hebat dengan posisi masing-masing!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 6:40 AM