KONSERT Loudness Ahad ini di Kuala Lumpur.
KONSERT Loudness Ahad ini di Kuala Lumpur.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


PEMINAT genre muzik rock 1980-an tentunya mengenali kumpulan Loudness dari Jepun yang cukup popular dengan fesyen pakaian berimej matahari dan genre heavy metal serta glam metal.

Bagi rocker di Malaysia, kumpulan dianggotai Akira Takasaki (gitar), Minoru Niihara (penyanyi), Masayoshi Yamashita (bass) dan Masayuki Suzuki (dram) ini bukanlah asing dan pernah beberapa kali mengadakan konsert di sini.

Loudness ditubuhkan pada 1981 oleh Takasaki dan bekas pemain dram, Munetaka Higuchi. Bagaimanapun, Higuchi meninggal dunia pada 30 November 2008 akibat kanser dan digantikan oleh Suzuki.

Pada 2011, Loudness pernah berduet dengan Amy Search dalam konsert mereka di KL Live.

Legenda rock Jepun yang mula menempa nama menerusi Konsert Jelajah Amerika Utara dan Eropah pada 1983 ini adalah kumpulan rock Jepun pertama di bawah label antarabangsa, Atlantic Records.

Kehebatan mereka tidak perlu dipertikaikan apabila sering berjaya menembusi carta Billboard Amerika Syarikat (AS) serta turut mencipta sejarah dengan menjadi artis Jepun pertama menggamatkan arena berprestij antarabangsa, Madison Square Garden di New York, Amerika Syarikat.

Peminat yang terlepas peluang menyaksikan konsert Loudness sebelum ini berpeluang menyaksikan gegaran mereka yang akan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, Ahad ini.

Persembahan yang akan berlangsung di The Bee, Publika pada jam 7 malam itu bersempena siri jelajah promosi album terbaharu mereka berjudul Rise to Glory.

Rise to Glory Tour: Malaysia 2019 ini bakal menghidangkan persembahan bertenaga mereka dengan lagu hit sepanjang zaman daripada album seperti Thunder in the East,Lightning Strike, Hurricane Eyes dan Spiritual Canoe.

Mengimbau kembali kehebatan silam mereka, Loudness berjaya memikat ramai peminat dengan barisan lagu popular antaranya So Lonely, Heavy Chains, Lost Without Your Love, Crazy Night, Soldier of Fortune dan Let It Go.

Tiket untuk persembahan anjuran Live Nation ini bermula pada harga RM178 (early bird), RM208 (advance) dan RM288 (VIP) boleh didapati di www.galactix.asia/loudnessKL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 5:00 AM