PEMINAT di Malaysia dapat saksikan persembahan bertenaga meskipun pada usia menjangkau 70 tahun.
PEMINAT di Malaysia dapat saksikan persembahan bertenaga meskipun pada usia menjangkau 70 tahun.
Syafil Syazwan Jefri


Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali lagi menjadi lokasi penganjuran konsert artis antarabangsa pada 29 Oktober ini.

Kali ini, band rock popular dunia, Scorpions bakal menggegarkan lokasi terbabit dengan konsert hebat mereka.

Dalam kalangan peminat rock tempatan, nama Scorpions cukup sinonim terutama menerusi lagu balada popular mereka seperti Always Somewhere, When The Smoke Is Going Down, Still Loving You, Send Me An Angel dan Wind Of Change.

Ini termasuk lagu hard rock seperti Rock You Like A Hurricane dan Blackout.

Kali terakhir Scorpions mengadakan konsert di Malaysia ialah pada 2004 dalam konsert Unbreakable Live in Malaysia dan berjaya menarik lebih 10,000 peminat.

Tiga anggota yang cukup sinonim dengan Scorpions sejak awal penubuhan mereka seperti Klaus Meine (penyanyi), Rudolf Schenker (gitar) dan Matthias Jabs (gitar) masing-masing usianya hampir mencecah 70 tahun, namun itu bukan alasan untuk mereka tidak mampu beraksi hebat.

Menyaksikan video persembahan mereka tahun ini di YouTube, Scorpions nampaknya masih gagah di pentas.

Vokal Meine yang kini berusia 68 tahun masih berbisa seperti dulu, manakala Schenker yang sudah berusia 67 tahun juga tetap bertenaga dengan gitarnya.

Dua lagi anggota Scorpions ialah Pawel Maciwoda (bass) dan James Kottak (dram).

Bagaimanapun, Kottak kini diganti Mikkey Dee kerana masih dalam pemulihan akibat masalah ketagihan alkohol. Sebelum itu, Kottak juga pernah dipenjarakan di Dubai pada April 2014 kerana menghina Islam.

Pada November tahun yang sama, dia kembali beraksi bersama Scorpions tetapi akibat keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, dia terpaksa sekali lagi berehat.

Bagi peminat rock, nama Mikkey juga bukanlah asing. Pemain dram ini lebih dikenali ketika bersama band rock legenda Motorhead dan dia juga pernah bersama King Diamond dan Don Dokken.

Meine dalam satu temu bual berkata, mereka ingin meneruskan konsert bersama Kottak namun terpaksa akur dengan kesihatannya.

"Tentunya kami sentiasa mahukan Kottak turut serta dalam konsert. Namun begitu, kesihatannya perlu diberi keutamaan.

"Kami berharap agar dia menerima rawatan secukupnya, pulih dengan pantas dan kembali beraksi bersama kami," katanya.

Scorpions yang ditubuhkan di Hannover, Jerman pada 1965 banyak menempa pelbagai kejayaan menerusi hasil karya mereka.

Antaranya lagu Wind Of Change yang dimuatkan dalam album Crazy World pada 1990 menjadi lagu simbolik bagi menggambarkan perubahan politik di Eropah Timur pada penghujung 1980-an hingga awal 1990-an yang menyaksikan penyatuan Jerman dengan runtuhnya Tembok Berlin.

Single Wind of Change saja berjaya dijual sebanyak 14 juta unit dan menjadi antara single paling laris di dunia.

Sehingga kini, Scorpions sudah menghasilkan 18 album studio, 27 album kompilasi dan 74 single.

Secara keseluruhan, band itu berjaya menjual lebih 100 juta unit album.

Mereka juga pernah menerima lebih 200 kali penghargaan emas, platinum dan multi platinum daripada pelbagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 5:00 AM