Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang ditahan susulan penahanan lelaki warga Israel kerana memiliki enam pucuk pistol akan dituduh di Mahkamah Klang hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua suami isteri berusia 42 dan 40 tahun yang ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac lalu kerana memiliki senjata api itu akan dituduh hari ini.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan dan mengumpul maklumat berkaitan motif sebenar suspek warga Israel terbabit.

"Senjata api itu seperti diketahui diseludup dari negara jiran.

"Lelaki warga Israel, 38, itu pula akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat... mungkin selepas raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pulapol, di sini, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal oleh pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport warga Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap ketika sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bercakap ketika sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH

Susulan soal siasat ke atas lelaki itu, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac, yang disyaki menjual enam senjata api kepadanya selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.

Pasukan khas polis yang mengendalikan kes ini terdiri dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Lelaki warga Israel terbabit turut disambung reman selama tujuh hari selepas reman sebelum ini tamat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 10:46 AM