AVITAN bersama kawalan ketat polis ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur 12 April lalu (gambar fail). FOTO Aswadi Alias
AVITAN bersama kawalan ketat polis ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur 12 April lalu (gambar fail). FOTO Aswadi Alias
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Shalom Avitan di tahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka sebelum ini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api.

Namun, menurutnya, mereka kemudian disambung reman mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

"Reman mereka mengikut Akta Senjata Api tamat semalam dan Selasa lalu namun kita tahan lagi selama 28 hari mengikut Sosma bagi siasatan lanjut," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pertuduhan ke atas lelaki Israel itu adalah bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Ini bermakna, orang kena tuduh (OKT) akan ditahan dalam penjara dan berada di bawah kawalan pihak Jabatan Penjara Malaysia sehingga perbicaraan selesai.

Terdahulu, Avitan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api.

Mengikut pertuduhan, Avitan didakwa memiliki enam pucuk pistol dan 158 butir peluru antara 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang 28 Mac lalu, di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.

Sebelum ini, lelaki warga Israel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdagangkan enam pistol membabitkan Glock 19 USA, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson Spring Field, Sig Sauer P3205P, Stoeger Cougar 8000F serta Cougar 8000FT di bilik hotel di Jalan Ampang di sini, pada 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm, mengandungi lapan butir peluru serta tiga kotak Bullet Master Co Ltd (B660105) masing-masing mengandungi 50 peluru di bilik hotel, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam, Navinjit Singh.

Ketika prosiding, Mohamad Mustafa tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan itu berada di bawah pertuduhan yang tidak boleh dijamin dengan pihak pembelaan tiada bantahan.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel itu yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu ditahan di hotel terbabit selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki itu memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.

Lelaki yang menggunakan pasport Perancis itu didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:17 PM