Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki warga Israel yang ditahan kerana memiliki enam pucuk pistol disambung reman selama tujuh hari.

Terdahulu, tempoh reman terhadapnya tamat hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan sambung reman terhadap suspek itu dibuat bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan secara terperinci.

Menurutnya, pihaknya masih memerlukan sedikit masa dalam mengumpulkan segala bukti kukuh berkaitan suspek utama dan pasangan suami isteri tempatan yang turut disambung reman Jumaat lalu.

"Pada masa ini, pihak kita (polis) masih meneliti motif dan tujuan utama suspek memiliki enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

"Selain itu, siasatan juga masih dibuat terhadap kesemua 15 individu yang masih ditahan termasuk suspek dan pasangan suami isteri warga tempatan terbabit," katanya.

Razarudin berkata, seorang daripada suspek yang ditahan di Cameron Highlands, pada 29 Mac lalu, yang berperanan sebagai pemandu kepada lelaki itu, sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai dijalankan.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal mendapati, lelaki itu yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport warga Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan soal siasat ke atas lelaki itu, polis kemudiannya memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac, yang disyaki menjual enam senjata api kepada suspek, selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.

Pasukan khas polis yang mengendalikan kes ini kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Kesemua mereka disiasat kerana terbabit dalam pengedaran senjata api yang dirampas, terbabit dalam aktiviti pembayaran wang kripto untuk urusan pembelian senjata serta kesalahan-kesalahan berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 3:07 PM