Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di sini pada 27 Mac lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

"Suspek utama itu yang dalam tahanan reman akan dibawa ke mahkamah esok untuk pertuduhan.

"Sementara suspek yang masih dalam tahanan akan disambung reman bagi membantu siasatan," katanya

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal oleh pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport warga Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan soal siasat ke atas lelaki itu, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor, pada 29 Mac, yang disyaki menjual enam senjata api kepadanya selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.

Pasukan khas polis yang mengendalikan kes ini terdiri dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu dalam beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan dan Lembah Klang.

Susulan itu, pasangan suami isteri yang didakwa membekalkan senjata api kepada seorang warga Israel didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April lalu berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Sementara itu, suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Menurut dokumen mahkamah, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam pada 29 Mac lalu di sebuah premis di Kampung Bukit Belimbing di Kuala Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 12:38 PM