Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti seorang daripada perompak laut yang menembak dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu di perairan Kunak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut suspek terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan perompak laut yang mengambil kesempatan ketika musim perayaan.

"Kita nampak ini adalah keadaan kes rompakan laut. Apabila keadaan musim perayaan berlaku, ada yang nak balik ke Kunak ke Semporna dan Semporna ke Kunak di mana mereka mengambil kesempatan merompak bot di laut.

"Buat masa ini seorang daripada anggota Maritim sudah menjalani pembedahan mata bagi mengeluarkan peluru dan kini dalam keadaan stabil. Pada awalnya nak letak mata palsu namun Alhamdulillah matanya tidak perlu dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pulapol, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya menolak kemungkinan suspek terbabit dengan sebarang kumpulan militan.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan kes ini. Kita akan mempertingkatkan kawalan dan rondaan di sekitar perairan negara," katanya.

Ditanya mengenai penggunaan senjata oleh suspek, Razarudin memaklumkan, siasatan dilakukan termasuk mengenal pasti jenis senjata digunakan.

Media semalam melaporkan dua anggota penguat kuasa Maritim Malaysia Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Sementara itu, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan dilaporkan berkata, kedua-dua anggotanya itu berada di dalam bot Banggi 48 bagi menjalankan Op Khas Pagar di perairan terbabit.

Menurut beliau, berdasarkan laporan awal, terdapat tiga suspek bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ke arah bot Banggi 48.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 10:58 AM